Chonburi, Thailand: Jabatan Kastam Thailand berjaya mematahkan cubaan menyeludup lebih 3.1 tan metrik gading gajah bersama sisa hidupan liar bernilai melebihi 155 juta baht (kira-kira RM18.8 juta) yang disembunyikan di dalam kayu gergaji yang diubah suai dan diimport dari Zambia di Pelabuhan Laem Chabang di sini, lapor The Nation.
Ketua Pengarah Jabatan Kastam, Panthong Loykulnunt bersama Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Khas (DSI), Kapten Polis Piya Raksakul dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan, Prateep Hermpayay mengumumkan kejayaan rampasan itu dalam sidang media pada Isnin.
Operasi berkenaan dijalankan hasil perkongsian maklumat risikan dan kerjasama bersepadu dengan agensi antarabangsa sekali gus membawa kepada penahanan dua kontena perkapalan yang mencurigakan di pelabuhan berkenaan.
Kargo yang diimport dari Zambia itu diisytiharkan mengandungi 568 keping kayu gergaji jenis musivi dengan jumlah isi padu sebanyak 48 meter padu dan berat bersih 56,000 kilogram (kg).
Bagaimanapun, pemeriksaan terperinci membongkar taktik penyeludupan itu apabila 32 keping kayu didapati ditebuk dan ditutup menggunakan lilin kelabu keputih-putihan bagi menyembunyikan gading gajah serta bahagian hidupan liar.
Pihak Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan kemudian dihubungi untuk menjalankan pemeriksaan bersama dan mengumpul bahan bukti.
Pemeriksaan lanjut menemukan 469 gading dan keratan gading seberat 3,042.67 kg serta 1,038 serpihan gading seberat 66.20 kg menjadikan jumlah keseluruhan rampasan gading mencecah 3,108.87 kg atau lebih 3.1 tan metrik.
Pihak berkuasa turut menyita 335 helai bulu ekor hidupan liar seberat 0.18 kg serta satu bangkai hidupan liar.
Nilai keseluruhan barangan sitaan dianggarkan melebihi 155 juta baht (kira-kira RM18.8 juta).
Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan turut menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap bahan rampasan bagi membantu proses pendakwaan dan siasatan lanjut mengikut undang-undang berkaitan.
Kes itu membabitkan kesalahan di bawah Akta Kastam 2017, Akta Gading Gajah 2015, Akta Pemuliharaan dan Perlindungan Hidupan Liar 2019 selain peraturan kementerian berkaitan pengimportan hidupan liar, bangkai haiwan dan produk daripadanya.
Bahagian Pencegahan Jenayah Sumber Asli dan Alam Sekitar bersama DSI turut menjalankan siasatan lanjut bagi mengumpul bukti dan mengesan pihak yang bertanggungjawab dalam sindiket berkenaan.
Rampasan itu mencerminkan komitmen Thailand untuk memenuhi obligasinya di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa bagi Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES) selain memastikan negara itu tidak dijadikan laluan transit bagi kegiatan penyeludupan hidupan liar antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




