am@hmetro.com.my
Georgetown: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sudah menasihati perunding projek pembangunan yang dikaitkan dengan kejadian tanah runtuh kelmarin supaya mengambil langkah berjaga-jaga di kawasan cerun sejak Ogos lalu.
Datuk Bandar Pulau Pinang, Datuk A Rajendran, berkata nasihat itu diberikan susulan lawatan pihak majlis ke tapak berkenaan sebelum surat mengenai langkah keselamatan yang perlu diambil dikeluarkan.
“Kami menasihati perunding berkenaan pada Ogos selepas lawatan ke tapak dan membuat susulan melalui surat mengenai langkah yang perlu diambil di lokasi.
“Mereka sudah melaksanakan langkah-langkah yang dikehendaki,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan langkah keselamatan yang dilaksanakan oleh pihak perunding berkenaan.
Rajendran berkata, MBPP turut melawat semua tapak yang mempunyai kawasan cerun antara Ogos hingga September bagi menasihati pihak berkaitan supaya mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya menjelang musim monsun.
Beliau berkata, siasatan berhubung kejadian tanah runtuh itu masih dijalankan.
“Adalah wajar untuk saya mengemukakan laporan kepada jawatankuasa siasatan,” katanya ketika ditanya mengenai siasatan dan penemuan awal berhubung kejadian itu.
Susulan tanah runtuh kelmarin, projek pembangunan di kawasan berkenaan dikenakan arahan henti kerja.
Projek yang membabitkan pembinaan jalan raya dan pangsapuri itu berjalan lebih setahun.
Kejadian berkenaan mengorbankan Dr Wong Kar Lin, 73, manakala isteri dan ibu mentuanya selamat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




