Manchester: Bekas kapten Manchester United, Gary Neville mendedahkan The Red Devils sepatutnya memburu tiga pengurus berkaliber antarabangsa dan bukannya melantik Michael Carrick sebagai pengendali tetap pasukan.
Kedudukan Carrick, 45, kini dilaporkan bagai ‘telur di hujung tanduk’ susulan kekalahan memalukan 0-3 di tangan Bournemouth di tempat sendiri, Old Trafford, Ahad lalu.
Pasukan itu kini mengharungi permulaan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) yang disifatkan bencana apabila sekadar mencatatkan satu kemenangan daripada lapan perlawanan setakat ini.
Isu di luar padang turut memburukkan situasi Carrick apabila tonggak pertahanan, Lisandro Martinez secara terbuka mengecam pihak pengurusan kelab, manakala kapten pasukan, Bruno Fernandes kritikal terhadap taktikal yang diterapkannya.
Neville turut menyelar persembahan hambar bekas pasukannya itu sambil mengakui Carrick kini ‘berkemungkinan besar’ bakal dipecat.
Menerusi saluran The Gary Neville Podcast, pengulas sukan itu menamakan tiga pengurus yang sepatutnya menjadi sasaran United – dua daripadanya kini membimbing skuad kebangsaan, manakala seorang lagi sedang mempamerkan prestasi cemerlang dalam kancah EPL.
“Saya sudah katakan apabila mula mula Micheal mengambil alih pada musim lalu, walaupun dia menang semua perlawanan, kita tidak boleh lantik dia sebagai pengurus tetap. Kita kena cari pengurus terbaik di dunia yang sanggup datang ke Manchester United.
“Kalau kena bayar 25 juta pound (kira-kira RM142 juta) setahun untuk seorang pengurus, jual seorang pemain dan bayar ganjaran itu kepada pengendali terbaik. Rayu mereka untuk datang,” kata Neville.
Beliau menambah, pihak pengurusan akhirnya tewas kepada emosi sebelum memutuskan untuk melantik Carrick secara tetap.
“Semua orang sudah terperangkap. Saya faham kenapa ada sokongan untuk melantik dia pada awalnya.
“Tetapi saya tetap berpendirian, jika ada pengurus bertaraf dunia yang sedia ada seperti (Carlo) Ancelotti, (Mauricio) Pochettino atau Unai Emery, kelab sepatutnya pergi dapatkan mereka.
“Ini sebuah kelab gergasi dunia tetapi lihat lima pengurus terakhir kita: Ralf Rangnick, Ole (Gunnar Solskjaer), Michael, Ruben Amorim dan Erik ten Hag.
“Tiada seorang pun antara mereka yang betul-betul berpengalaman membimbing pasukan di EPL sebelum ini. Ole cuma ada pengalaman beberapa bulan di Cardiff.
“Malah, tiada seorang pun daripada mereka pernah bergelar juara Eropah atau menjuarai liga utama,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




