KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) Melaka perlu mengadakan semula rundingan agihan kerusi susulan bantahan MCA terhadap keputusan yang diumumkan tanpa persetujuan parti komponen itu.
Naib Presiden MCA, Datuk IR Lawrence Low berkata, Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh perlu memberi penjelasan berhubung pengumuman berkenaan, sedangkan MCA sudah menyatakan bantahan secara jelas melalui surat rasmi.
Menurutnya, Ab Rauf tetap mengumumkan senarai calon secara sepihak, selain mendakwa pembahagian kerusi itu mendapat persetujuan semua pihak dan tidak perlu diubah.
Beliau mempersoalkan asas dakwaan berkenaan sekiranya MCA tidak pernah bersetuju dengan pembahagian kerusi yang ditetapkan.
“Tanggungjawab Ab Rauf menyelaras rundingan agihan kerusi tidak bermakna beliau boleh membuat keputusan bagi pihak parti komponen lain, apatah lagi mengumumkan keputusan muktamad ketika masih terdapat bantahan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Lawrence berkata, rundingan menyeluruh perlu diadakan sebelum keputusan dibuat dan perbezaan pandangan MCA perlu diambil serius, bukannya menggunakan alasan agihan kerusi sudah selesai untuk memaksa parti itu menerima keputusan berkenaan.
Menurutnya, BN ialah gabungan politik yang terdiri daripada beberapa parti komponen dan tiada mana-mana parti boleh menggunakan kedudukan sebagai peneraju rundingan untuk mengambil alih hak membuat keputusan parti lain.
“Pembahagian kerusi boleh dirundingkan, namun hak parti komponen untuk bersuara, berunding dan menentukan pendirian masing-masing tidak boleh diketepikan,” katanya.
Lawrence turut mempersoalkan percanggahan kenyataan Ab Rauf dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, apabila Ab Rauf menyatakan agihan kerusi sudah dimuktamadkan, manakala Ahmad Zahid berkata, masih ada ruang rundingan mengenai senarai calon.
Beliau membangkitkan persoalan sama ada Ab Rauf menggunakan kuasa veto demi kepentingan peribadi sehingga mengabaikan kepimpinan BN pusat.
“Persetujuan kerjasama dengan parti di luar BN boleh dimuktamadkan, namun persetujuan asas dengan parti komponen yang sudah lama bersama gabungan itu masih belum dicapai,” katanya.
Lawrence berkata, MCA memahami keperluan mengambil kira landskap politik semasa dalam menentukan agihan kerusi, tetapi kerjasama politik pilihan raya memerlukan rundingan yang adil dan keputusan secara konsensus.
Beliau turut mempersoalkan makna prinsip membuat keputusan bersama dalam BN sekiranya kerusi MCA boleh ditentukan tanpa persetujuan parti itu, selain membangkitkan kemungkinan parti komponen lain berdepan situasi sama pada masa depan.
“Sebelum ini, Ahmad Zahid memberi komitmen untuk mengadakan perbincangan dan mencari jalan penyelesaian berhubung isu berkenaan sebelum hari penamaan calon pada 31 Oktober ini.
“Ahmad Zahid juga berkata, ruang rundingan masih terbuka sekiranya terdapat calon yang tidak dipersetujui, memandangkan proses pengesahan watikah masih belum selesai sepenuhnya,” katanya.
Justeru, Lawrence menegaskan isu tersebut perlu diselesaikan segera mengikut tradisi BN yang diamalkan sejak sekian lama, iaitu setiap keputusan perlu dicapai secara konsensus sebelum hari penamaan calon pada 31 Oktober.



