Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan spekulasi bahawa MCA akan menarik diri daripada kerjasama gabungan itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka susulan tindakan beberapa pemimpinnya meninggalkan dewan ketika pengumuman calon, Sabtu lalu.
Beliau menjelaskan, pertemuan bersama Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh baru-baru ini berlangsung dalam suasana positif.
Malah, kemungkinan MCA menarik diri daripada PRN Melaka langsung tidak dibangkitkan sepanjang perbincangan berkenaan.
“Tidak ada, tidak timbul langsung (MCA ingin tarik diri). Semuanya positif.
“Saya menyerahkan kepada Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, untuk mengumumkan hasil pertemuan berkenaan kerana beliau telah diberi mandat untuk berbuat demikian,” jelasnya.
Ahmad Zahid ditemui pemberita selepas menyempurnakan perasmian Hari Terbuka JELITA-Latihan Intensif 12 Jam di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), hari ini.
Sebelum ini, tindakan Wee bersama beberapa pemimpin MCA meninggalkan majlis pengumuman calon BN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, mencetuskan tanda tanya mengenai pendirian parti itu terhadap kerjasama dalam BN.
Antara yang dilaporkan turut keluar ialah dua calon MCA, iaitu Naib Presidennya, Datuk Lim Ban Hong yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang dan Datuk Ngwe Hee Sem bagi kerusi DUN Machap Jaya.

Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Zahid turut menjelaskan bahawa BN tidak bercadang membuat sebarang pertukaran calon meskipun wujud bantahan dalam kalangan akar umbi, khususnya membabitkan kerusi Durian Tunggal dan Pantai Kundor.
Mengulas perkara itu, beliau menyifatkan rasa tidak puas hati terhadap pemilihan calon sebagai situasi biasa yang turut dihadapi parti politik lain ketika pilihan raya.
“Di mana-mana pilihan raya kecil atau pilihan raya negeri, apatah lagi pilihan raya umum, memang ada permasalahan yang begini, bukan hanya kepada BN sahaja, tetapi berlaku juga kepada parti-parti gabungan yang lain.
“Ini sesuatu yang lazim dan tidak ada sesuatu yang mustahil untuk kita cari jalan penyelesaian yang terbaik,” ujarnya.
![]()
Kredit Foto: FB Zahid Hamidi
Mengulas kemungkinan pertukaran calon sebelum hari penamaan calon pada 31 Oktober ini, beliau tidak melihat keperluan untuk mengambil langkah sedemikian.
“Saya tidak nampak ke arah itu,” tegasnya.
Sumber: Utusan Malaysia (Amran Mulup)





