Hujan pertama beri kelegaan kepada penduduk Palembang

Hujan pertama beri kelegaan kepada penduduk Palembang

JAKARTA – Hujan lebat yang membasahi beberapa kawasan di Palembang, Sumatera Selatan di Indonesia pada akhir minggu lalu disambut penuh kesyukuran oleh penduduk setempat.

Dalam tempoh beberapa jam, video hujan yang membasahi bumbung rumah dan jalan raya diselubungi asap mula tular di beberapa platform media sosial ketika penduduk meraikan berakhirnya tempoh kering yang berlarutan lebih tiga bulan.

“Saya berharap hujan akan berterusan,” kata Firmansyah, 60, seorang penjaga parkir yang menetap di kawasan 1 Ulu, Palembang pada Isnin.

Hujan lebat itu memberi sedikit kelegaan dan harapan bahawa kebakaran hutan dan tanah (karhutla) yang melanda Indonesia sejak beberapa bulan lalu mungkin semakin reda, meskipun pakar cuaca memberi amaran bahawa taburan hujan dijangka tidak sekata.

Stesen Sumatera Selatan di bawah Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) menjangkakan musim hujan bermula pada November walaupun pakar meramalkan beberapa kawasan yang mudah terbakar mungkin menerima hujan seawal Oktober.

Sumatera Selatan telah mengalami musim kemarau selama lebih empat bulan dengan beberapa kawasan tidak menerima hujan selama lebih 100 hari.

BMKG masih menyenaraikan Sumatera Selatan, Jambi, Bengkulu, Lampung dan Bangka Belitung sebagai wilayah berisiko mengalami kebakaran sehingga Sabtu ini. – AFP

Scroll to Top