50 bayi dapat simpanan SSPN, PTPTN semai budaya menabung sejak lahir

50 bayi dapat simpanan SSPN, PTPTN semai budaya menabung sejak lahir

Seramai 50 bayi yang lahir pada Oktober 2026 menerima manfaat sumbangan keseluruhan RM10,000 daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi Program Junior Superhero Simpan SSPN Tahun 2026 di Hospital Pulau Pinang.

YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN (tengah) diringi YBrs. Dr. Goh Hin Kwang, Pengarah Hospital Pulau Pinang (dua dari kanan) bergambar bersama ibu dan bayi kelahiran baharu dalam Program Junior Superhero Simpan SSPN 2026.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, program yang bermula pada 2023 itu telah dilaksanakan di beberapa hospital sebagai usaha mendekatkan masyarakat dengan budaya menabung.

“Program Junior Superhero Simpan SSPN yang diperkenalkan pada tahun 2023 telah dilaksanakan di beberapa hospital, termasuk Hospital Pulau Pinang. Penganjuran kali ini meneruskan usaha menggalakkan amalan menabung untuk pendidikan tinggi sejak anak dilahirkan, seiring dengan aspirasi Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS),” katanya.

Setiap penerima mendapat RM100 bagi pembukaan atau penambahan simpanan dalam akaun Simpan SSPN Prime, selain hamper barangan bayi bernilai RM100.

Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu bertujuan menggalakkan ibu bapa menyediakan tabungan pendidikan sejak anak dilahirkan, sekali gus menjadikan amalan menyimpan sebahagian daripada perancangan keluarga.

Menurut Norliza lagi, usaha tersebut turut menyokong pembentukan masyarakat yang lebih memahami kepentingan pengurusan kewangan.

“Penganjuran ini mencerminkan komitmen PTPTN untuk mendekati masyarakat dan menyokong perancangan pendidikan anak-anak sejak awal usia. Usaha ini juga selari dengan hasrat membentuk masyarakat yang lebih celik kewangan serta menyumbang kepada pembangunan modal insan negara,” jelasnya.

YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN (empat dari kanan), menyerahkan replika kad sumbangan Program Junior Superhero Simpan SSPN 2026 kepada penerima.

Turut hadir ialah Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Pengarah Hospital Pulau Pinang, Dr. Goh Hin Kwang.

Selain program berkenaan, ibu bapa di Pulau Pinang boleh memanfaatkan Program Anak Emas, iaitu insentif kerajaan negeri melalui kerjasama strategik bersama PTPTN.

Mulai 15 Januari 2024, setiap anak kelahiran baharu yang layak menerima RM100 dalam akaun Simpan SSPN Prime serta RM100 lagi yang dikreditkan ke akaun bank.

Dalam pada itu, menurut PTPTN, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima sejak diperkenalkan pada 2004 hingga 30 September 2026 mencecah RM26.07 bilion, dengan 7.74 juta akaun dibuka.

PTPTN menggalakkan ibu bapa memulakan simpanan mengikut kemampuan sejak awal bagi membantu menyediakan keperluan pendidikan tinggi anak-anak pada masa depan.

Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui portal rasmi PTPTN https://www.ptptn.gov.my.

Scroll to Top