Zarif Ghazzi puji semangat pelapis

Zarif Ghazzi puji semangat pelapis

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pelakon, Zarif Ghazzi, 22, mengakui bangga melihat semangat bekerja ditunjukkan bakat-bakat baharu industri sepertinya yang dilihat komited, bersungguh-sungguh dan sentiasa bersedia di set penggambaran.

Zarif atau nama sebenar, Zarif Farahi Effie Ghazzi berkata, selama pengalaman bekerja dengan rakan seangkatan membuat dia kagum melihat persediaan diri masing-masing untuk memahami karakter dibawa.

“Sebagai antara bakat baharu industri, saya bangga dan kagum melihat semangat kerja ditunjukkan oleh rakan-rakan lain. Saya tidak pamer (bakat) untuk bersaing, tetapi mahu memberi yang terbaik.

“Tiada yang lama, kalau tiada juga yang baharu. Saya tahu dalam industri ketika ini pun, masih ada nama besar yang hebat lakonannya seperti abang Beto Kusyairy. Dia (Beto) inspirasi buat kita.

“Harapan saya agar industri seni kita dalam bidang lakonan ini akan terus bersinar dengan kehadiran penggiat berkaliber yang benar-benar ada impian menjadi pelakon berjaya,” katanya ditemui baru-baru ini.

Zarif yang berasal dari Johor dan baharu tiga tahun aktif lakonan sejak 2023 berkata, dia sendiri berasa perlu bekerja keras sekiranya mahu berjaya dan bertahan dalam industri dengan hasil kerja berkualiti, terbaik dan bermutu.

Pernah merangkul Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2025, kategori Selebriti Newcomer Terhangat, Zarif berkata dia juga terbuka bekerjasama dengan pengarah berwibawa tanpa mengira ‘gender’, lelaki ataupun wanita.

“Sama ada pengarah itu lelaki atau wanita, saya okay untuk bekerjasama. Bagi saya setiap orang tidak kira ‘gender’, masing-masing ada kelebihan tersendiri ketika bekerja. Apa yang penting, saling hormati dan berbincang.

“Kalau pun ada yang tidak kena di hati dengan cara kerja dibuat, berbincang secara profesional. Kena bijak kawal emosi serta harga kerja orang lain. Apapun, saya kurang setuju skaptikal terhadap pengarah wanita.

“Sebenarnya, keseronokan bekerja juga datang dari persekitaran. Jadi, kita gembira bekerja di set penggambaran apabila satu pasukan berkomunikasi baik sebagai satu keluarga. Ikatan positif sangat utama,” katanya.

Menurut Zarif, dia juga bersikap terbuka menerima apa sahaja komen di media sosial mengenai mutu lakonannya kerana penonton sekarang sangat bijak dan tahu bentuk hiburan diinginkan.

Untuk rekod, antara drama pernah dibintangi Zarif ialah Isteri Halal, Budak Hostel Otaknya Sewel, Khunsa, Berbahagi Suami, Antara Dua Syurga, Seribu Tahun, Hilang Dalam Rindu dan Ai Crush You.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top