SHAH ALAM – Seorang warga emas berusia lebih 60 tahun berjaya menamatkan larian Taman Negara Ultra Trail sejauh 30 kilometer (km) dengan berkaki ayam dalam masa tujuh jam 32 minit 36 saat.
Ariffin Abdul Manan atau dikenali sebagai Pak Cik Ariffin menduduki tempat ke-72 daripada 326 peserta serta tempat ke-13 dalam kategori Men Veteran 40 tahun ke atas, menerusi perkongsian pengguna Facebook, Mohd Razali pada Selasa.
Sebelum menyertai perlumbaan itu, Ariffin dikatakan mengayuh basikal sejauh kira-kira 100km dari Ulu Cheka, Damak ke Taman Negara.
Mohd Razali berkata, laluan Taman Negara Ultra Trail bukan seperti laluan larian biasa kerana peserta perlu meredah hutan, laluan berlumpur serta perlu mendaki bukit yang mencabar.
“30km Ultra Trail Taman Negara ni bukan macam laluan biasa. Kena redah hutan yang masih liar, laluan berlecak lepas hujan, bukit yang tak berkesudahan, denai yang langsung tak nampak trek sampai kena cari jalan sendiri.
“Lagi menarik, dia cuma pakai jam tangan biasa, bukan jam sukan yang mempunyai peta dan navigasi. Maknanya, dia bergantung pada penanda laluan yang pihak penganjur sediakan,” katanya.
Malah, katanya, Ariffin pada mulanya tidak menemui lokasi pelepasan perlumbaan ketika hendak memulakan larian.
Daripada segi kelengkapan, ujarnya, Ariffin hanya menggunakan peralatan ringkas termasuk bekas air jenis ‘soft flask’, ves larian biasa dan kasut getah sebelum meneruskan larian tanpa kasut.
“Sepanjang perjalanan, dia dikatakan tak lekang dengan senyuman. Siapa yang menegur, dilayan dengan baik.
“Dalam aktiviti sukan, Ariffin juga membawa mesej dakwah melalui akhlak dan cara hidupnya. Kalau bermalam di rumah dia, pagi-pagi dia perah susu kambing hidangkan kepada tetamu,” katanya.
Dalam pada itu, perkongsian berkenaan turut menyatakan Ariffin mempunyai pengalaman hampir 20 tahun dalam acara maraton, duathlon dan triathlon.



