Dalang sindiket along ditahan, polis selesai 16 kes

Dalang sindiket along ditahan, polis selesai 16 kes

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Lelaki yang menjadi dalang sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau along ditahan, disyaki terbabit dalam 16 kes ugutan jenayah dan khianat menggunakan cat serta api di sekitar daerah ini dan Kluang.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suspek ditahan di sekitar daerah ini pada 8 Oktober lalu.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek mula aktif melakukan kegiatan itu sejak September lalu dengan modus operandi menyimbah cat, menggunakan api serta menampal notis ugutan di rumah mangsa.

“Suspek menerima upah antara RM200 hingga RM400 bagi setiap perbuatan khianat berkenaan.

“Dengan tangkapan ini, polis berjaya menyelesaikan 16 kes seumpamanya di sekitar daerah Johor Bahru dan Kluang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas dua motosikal, sebuah topi keledar, tiga nota ugutan, sebuah telefon bimbit, sebatang tukul besi, sepasang pakaian, sepasang selipar hitam dan sebuah pemetik api yang dipercayai digunakan suspek.

Katanya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, namun ujian saringan awal air kencingnya didapati positif dadah jenis amphetamine.

“Sebanyak 16 kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor untuk tindakan lanjut. Suspek dijadual dituduh di Mahkamah Johor Bahru esok,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sebanyak 135 kumpulan yang terbabit dalam kegiatan khianat di seluruh Johor berjaya ditumpaskan sejak 2023 hingga September lalu, dengan 214 ahli kumpulan sudah dituduh di mahkamah.

Katanya, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan jenayah sehingga mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sindiket along diminta menghubungi Hotline Polis Johor di talian 019-279 2095 atau Bilik Gerakan di talian 07-221 2999.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top