SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor perlu menyatakan pendirian dan penjelasan terhadap isu kemasukan babi hidup ke negeri ini sama ada ia bertentangan dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah atau sebaliknya.
Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd. Zai berkata, penjelasan tersebut bagi mengelak kekeliruan apabila titah baginda yang difahami oleh rakyat hanya daging babi dibenarkan untuk diimport bagi memenuhi kehendak masyarakat bukan Islam di negeri ini.
Menurutnya, hasil siasatan terhadap isu tersebut juga perlu dibentangkan segera kepada rakyat khususnya bagi mereka yang bimbang terjejas akibat kemasukan jumlah babi hidup berskala besar itu.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Kawasan perairan Pelabuhan Klang merupakan lubuk rezeki utama bagi komuniti nelayan setempat. Kenyataan daripada Persatuan Nelayan Kawasan Pelabuhan Klang yang mendedahkan gangguan bau yang teruk serta risiko lambakan sisa akibat proses pemindahan haiwan hidup ini adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh.
“Apabila sisa daripada proses pembersihan babi hidup ini mengalir ke laut tanpa kawalan yang ketat, dikhuatiri kualiti air laut akan terjejas, ekosistem hidupan marin akan rosak, dan akhirnya hasil tangkapan nelayan dibimbangi akan merosot,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Kerajaan Negeri Selangor diminta mendedahkan hasil siasatan kemasukan, jumlah dan destinasi babi hidup yang dibawa masuk dari Sarawak melalui Pelabuhan Klang.
Presiden Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (Grass Malaysia), Mohd. Yusaimi Md. Yusof berkata, maklumat mengenai pihak pengimport, permit berkaitan serta lokasi pemindahan ternakan selepas diturunkan di pelabuhan juga perlu diperincikan.
Susulan itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin menjelaskan import itu bukan perkara baru, malah sudah pun diumumkan dan dijelaskan kepada media serta di Parlimen sebelum isu berkenaan kembali menjadi pertikaian.
Beliau dalam kenyataan berkata import itu dibenarkan melalui lesen yang diluluskan dan tertakluk kepada prosedur kawalan ketat, dengan ternakan berkenaan perlu dihantar terus ke pusat penyembelihan di Rawang tanpa singgah di lokasi lain.
Bagaimanapun, Muhammad Faizzuddin menegaskan nasib komuniti nelayan tidak sepatutnya diperjudikan demi kepentingan perniagaan komersial itu susulan pendedahan mengenai kemasukan sekitar 3,200 ekor babi hidup melalui Pelabuhan Klang sejak Julai lalu.
“Kami ingin menegaskan dengan lantang, jangan perjudikan nasib, periuk nasi, dan kelangsungan hidup para nelayan marhaen demi melindungi kepentingan perniagaan komersial itu.
“Kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Amirudin Shari tidak boleh berpeluk tubuh atau sekadar mengambil pendekatan tunggu dan lihat apabila kebajikan rakyat dikorbankan. Siasatan yang tegas dan tindakan yang keras mesti diambil segera,” jelasnya. – UTUSAN




