Konvokesyen bersama hadiah buat ibu pejuang kanser payudara

Konvokesyen bersama hadiah buat ibu pejuang kanser payudara

nurul_husna@mediaprima.com.my

Shah Alam: Tiada lebih membahagiakan buat seorang ibu apabila dapat menyaksikan sendiri kejayaan anaknya menggenggam ijazah.

​Bagi Shaidatul Nizam Abd Malek, 52, impiannya melihat dua anak lelakinya melangkah bersama ke pentas konvokesyen akhirnya menjadi kenyataan pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Ke-105, hari ini.

​Lebih tersentuh, kejayaan diraih dua beradik itu menjadi ‘penawar’ paling berharga buat bekas kakitangan New Straits Times Press (NSTP) berkenaan yang kini kental berjuang menentang kanser payudara.

​Anak sulungnya, Muhammad Zuhair Haikal Idross, 27, merangkul Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Operasi, manakala adiknya, Muhammad Hariz Danial, 25, menggenggam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia.

​Shaidatul Nizam berkata, pengorbanan kedua-dua anaknya amat mendalam apabila mereka sanggup menggalas tanggungjawab bekerja sambil menuntut ilmu demi menampung pengajian.

​”Si abang (Muhammad Zuhair) bekerja sebagai Eksekutif Jaminan Kualiti di sebuah syarikat swasta, manakala adiknya berkhidmat sebagai Eksekutif Sumber Manusia.

​”Walaupun penat bekerja, mereka tetap bersemangat dan tidak pernah jemu menghabiskan pengajian. Semua ini mereka lakukan demi melihat saya bahagia,” katanya sebak.

​Sebelum ini, Muhammad Zuhair Haikal menamatkan pengajian peringkat Diploma di Politeknik Sultan Idris Shah, Sabak Bernam, manakala adiknya memperoleh Diploma di UiTM Segamat.

​Kisah dua beradik ini menjadi bukti kegigihan, pengorbanan dan kasih sayang seorang anak terhadap ibu mampu menewaskan setiap cabaran.

Kejayaan mereka bukan sekadar segulung ijazah, tetapi sebuah hadiah terindah buat seorang ibu yang tidak pernah lelah berjuang demi kehidupan.

Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Ke-105 menyaksikan 32,630 graduan akan menerima diploma serta ijazah dalam pelbagai bidang bermula hari ini hingga 16 Disember ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top