austin@nst.com.my
Kuala Lumpur: Pemandu lori warga Malaysia ditahan selepas pihak berkuasa Singapura menemui lebih 800 karton rokok yang belum dibayar duti tersembunyi di bawah bakul sayur-sayuran dibawanya di Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) menerusi hantaran di Facebook, memaklumkan cubaan penyeludupan itu berjaya dipatahkan pada 8 Oktober lalu.
“Pegawai mengesan ketidakaturan pada imej imbasan lori berdaftar di Malaysia itu.
“Lori berkenaan yang membawa muatan diisytiharkan sebagai pelbagai jenis sayur-sayuran, diarahkan menjalani pemeriksaan lebih teliti selepas penganalisis imej ICA mengesan kejanggalan pada imej imbasan,” menurut kenyataan itu.
ICA berkata, pemeriksaan lanjut menemukan lebih 800 karton rokok yang belum dibayar duti, disembunyikan di bawah bakul sayur-sayuran dan dimasukkan ke dalam beg sampah warna putih.
Gambar yang dikongsikan ICA menunjukkan sebuah lori kotak jenama Isuzu serta beberapa bakul plastik yang disusun di dalam ruang kargo kenderaan itu.
Gambar lain turut menunjukkan karton rokok yang dibungkus dalam beg plastik putih, selain sejumlah besar karton rokok yang disusun selepas rampasan dilakukan.
Pemandu warga Malaysia itu berusia 33 tahun ditahan berhubung cubaan penyeludupan berkenaan.
ICA memaklumkan suspek bersama barangan yang dirampas diserahkan kepada Kastam Singapura untuk siasatan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




