mdroji@bh.com.my
Kuching: Polis tidak menemukan bukti unsur buli dalam kes pelajar lelaki berusia 16 tahun yang mencederakan seorang guru menggunakan kapak di sebuah sekolah swasta di sini, 21 Oktober lalu.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Saifullizan Ishak berkata, siasatan kes itu sudah dilengkapkan dan kertas siasatan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya Sarawak pada 26 Oktober lalu.
Bagaimanapun katanya, keputusan lanjut masih menunggu penelitian pihak pendakwaan serta laporan psikiatri forensik terhadap suspek.
“Laporan psikiatri forensik penting bagi membantu menentukan keadaan mental suspek ketika kejadian termasuk sama ada tindakannya dilakukan dalam keadaan sedar atau di luar kawalan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 7.50 pagi itu, suspek dipercayai membawa mercun sebelum mencederakan guru berusia 42 tahun menggunakan kapak.
Mangsa, guru wanita berusia 42 tahun mengalami luka pada tangan kiri, namun kecederaan itu tidak membabitkan otot atau tulang.
Mangsa menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kuching sebelum dibenarkan keluar.
Saifullizan berkata, suspek ditahan pada hari kejadian dan masih menerima rawatan di hospital, selain menjalani penilaian pakar psikiatri serta perubatan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakis dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Menurutnya, seramai 38 saksi sudah dirakam keterangan, terdiri daripada pelajar, guru, pengawal keselamatan, pakar perubatan dan ibu bapa suspek.
“Antara barang kes yang dirampas ialah kapak, pisau, mercun serta komputer dan gajet dari rumah suspek.
“Semua barang berkenaan dihantar untuk analisis forensik dan siasatan awal mendapati kapak itu dibeli suspek secara dalam talian, manakala analisis telefon bimbit dan komputer masih dijalankan bagi mendapatkan maklumat berkaitan kejadian,” katanya.
Mengulas dakwaan suspek terpengaruh dengan permainan dalam talian atau kandungan tertentu, Saifullizan berkata, perkara itu masih dalam siasatan dan polis tidak akan membuat kesimpulan tanpa bukti sahih.
Beliau berkata, keputusan sama ada suspek akan didakwa di mahkamah atau dikenakan tindakan lanjut bergantung pada penilaian pihak pendakwaan selepas meneliti hasil siasatan dan laporan pakar berkaitan.
Mengenai kemungkinan suspek diserahkan kepada keluarga atau pihak berkuasa berkaitan untuk penjagaan, beliau berkata, perkara itu turut bergantung pada laporan dan cadangan profesional yang berkenaan.
Sementara itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, kerana kes berkenaan membabitkan suspek bawah umur.
© New Straits Times Press (M) Bhd




