Polis beku, sita RM409 juta aset milik mafia korporat – Saifuddin

Polis beku, sita RM409 juta aset milik mafia korporat – Saifuddin

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membeku dan menyita pelbagai aset bernilai kira-kira RM409.21 juta dalam siasatan Op Viking berhubung dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ di Malaysia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan itu melibatkan 404 akaun bank bernilai kira-kira RM85.62 juta, 417 akaun sistem depositori pusat (CDS) dan 70 akaun dagangan saham berjumlah RM323.59 juta.

Selain itu, sebanyak lapan bidang hartanah dan 11 kenderaan turut dikenakan tindakan pembekuan dan penyitaan.

“Setakat 25 September 2026, seramai 70 individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berkenaan.

“Berdasarkan kepada latar belakang dan identiti individu-individu saksi yang telah dipanggil untuk rakaman percakapan, tiada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terlibat atau pun dikenal pasti bagi tujuan membantu siasatan,” katanya menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat, pada Rabu.

Saifuddin Nasution turut memaklumkan, siasatan dijalankan susulan laporan Bloomberg pada 12 Februari 2026 yang mendakwa wujudnya ‘mafia korporat’ di Malaysia, termasuk dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh agensi penguat kuasa bagi menekan ahli perniagaan menjual saham syarikat pada harga rendah bagi tujuan penguasaan syarikat.

Menurut beliau, Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) PDRM telah membuka kertas siasatan pada 14 Oktober 2025 di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

“Pada masa ini, siasatan Op Viking masih diteruskan bagi melengkapkan keseluruhan kertas siasatan.

“KDN memberi jaminan bahawa PDRM komited melaksanakan siasatan ini mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” ujarnya.

Scroll to Top