sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Perjalanan Azeem dan Sivasangari mampu menyemarakkan semangat dalam diri generasi muda. Seorang kanak-kanak yang melihat Azeem berlumba hari ini mungkin terdorong untuk mencuba olahraga, manakala seseorang yang menyaksikan Sivasangari beraksi di Los Angeles 2028 mungkin tergerak untuk memegang raket skuasy buat kali pertama.”
Begitu kata Ketua Pembangunan Sukan MILO®️ Malaysia, Lim Kerwin mengenai pelantikan pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan jaguh skuasy, S Sivasangari sebagai duta sukan MILO®️ Malaysia.
Azeem dilantik sebagai duta terbaharu bagi bergandingan dengan Sivasangari yang kini memasuki tahun ketiga bersama jenama terkemuka berkenaan.
Pelantikan itu hadir ketika kedua-dua atlet berkenaan terus memburu pencapaian lebih tinggi dalam karier masing-masing selepas mengharungi cabaran di pentas antarabangsa.
Azeem, pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m) dengan catatan 10.09 saat (s), terus berusaha mengukuhkan kedudukannya sebagai pelari pecut terbaik negara manakala Sivasangari kembali daripada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan kejayaan mempertahankan pingat emas perseorangan wanita dan berpasukan.
Lebih membanggakan, Sivasangari kini turut mengintai peluang melakar sejarah sebagai pemain skuasy wanita Malaysia pertama yang beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles (LA2028), ketika sukan itu bakal membuat penampilan sulung pada temasya berkenaan.
Menerusi peranan sebagai duta sukan, Azeem dan Sivasangari berharap dapat berkongsi pengalaman, cabaran serta pengajaran sepanjang perjalanan mereka bagi menyuntik semangat kepada lebih ramai anak muda untuk menceburi sukan.
Lim berkata, perjalanan kedua-dua atlet itu membuktikan kejayaan di peringkat tertinggi memerlukan kerja keras, ketabahan dan kesediaan untuk belajar daripada setiap pengalaman.
“Generasi muda sering melihat rekod, pingat atau detik seorang atlet berdiri di podium, tetapi tidak semestinya mengetahui kerja keras, cabaran dan ketabahan di sebaliknya. Kami berbesar hati kerana dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan sukan mereka sejak peringkat awal.
“Kini, mereka pula berpeluang berkongsi segala yang dipelajari dengan generasi seterusnya. Ini satu detik yang cukup bermakna, dan kami berharap dapat melihat lebih ramai anak muda Malaysia menemui potensi diri menerusi sukan,” katanya.
Dalam pada itu, Azeem berkata, peluang bersama MILO®️ sebagai duta sukan cukup bermakna memandangkan jenama itu sudah menjadi sebahagian daripada perjalanan olahraganya sejak kecil.
Katanya, pengalaman sebagai atlet mengajarnya tidak setiap perlumbaan berakhir seperti yang diharapkan, namun perkara paling penting ialah keupayaan untuk bangkit, belajar dan terus berusaha memperbaiki prestasi.
“Bukan setiap perlumbaan akan berakhir seperti yang diharapkan. Apa yang penting ialah bagaimana kita bangkit, apa yang kita pelajari dan kesediaan untuk terus berusaha. Teruskan berusaha, teruskan belajar dan beri diri anda peluang untuk melihat sejauh mana anda mampu pergi,” katanya.
Sementara itu, Sivasangari berkata, pembabitannya dalam sukan skuasy sejak berusia lapan tahun banyak membentuk dirinya, bukan sahaja sebagai atlet malah sebagai individu yang belajar menghadapi cabaran dan tekanan.
Sivasangari memulakan perjalanan karier menerusi kejohanan remaja berkata, sukan mengajarnya supaya tidak mudah berputus asa apabila berdepan kesukaran, selain terus mempercayai kemampuan diri.
“Sukan memberi saya lebih daripada sekadar keputusan pertandingan. Ia mengajar saya untuk menghadapi saat sukar, bangkit apabila sesuatu tidak berjalan seperti yang dirancang dan terus percaya pada diri sendiri.
“Kemenangan sememangnya istimewa, tetapi saya berharap lebih ramai anak muda memberikan diri mereka peluang untuk merasai segala yang boleh diperoleh menerusi sukan. Kita tidak pernah tahu sejauh mana langkah pertama itu mampu membawa kita,” katanya.
Dia masih mengingati betapa MILO®️ menjadi sebahagian daripada pengalamannya ketika remaja.
“Ketika mula bermain skuasy pada usia lapan tahun, saya tidak pernah menyangka sejauh mana sukan ini akan membawa saya. Saya hanya seorang kanak-kanak yang sedang belajar, bertanding dan menikmati permainan ini.
“Antara kenangan awal saya sebagai atlet muda ialah kejohanan skuasy junior, di mana MILO®️ sudah menjadi sebahagian daripada pengalaman itu. Hari ini, saya berpeluang bertemu dengan atlet muda yang berada di tempat saya suatu ketika dahulu,” katanya.
MILO®️ Malaysia menerusi kerjasama itu turut meneruskan komitmennya terhadap pembangunan sukan akar umbi dengan menggalakkan generasi muda kekal aktif, menyertai pertandingan dan menikmati manfaat sukan dalam kehidupan seharian.
Walaupun tidak semua yang menceburi sukan akan bergelar atlet kebangsaan, pengalaman Azeem dan Sivasangari diharap dapat mendorong lebih ramai anak muda memulakan langkah pertama mereka dalam bidang sukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




