ASEAN perlu memperkukuh keupayaan tindak balas bencana serantau supaya negara anggota dapat bertindak dengan lebih pantas, terselaras dan berkesan apabila berdepan bencana alam.
Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tiada negara anggota ASEAN mampu menangani cabaran berkenaan secara bersendirian, tanpa mengira sumber dan kemampuan yang dimiliki.
Beliau berkata, ancaman bukan tradisional yang dihadapi rantau ini semakin kompleks, saling berkait dan berpotensi membawa kemusnahan lebih besar, sekali gus memerlukan pendekatan lebih proaktif serta kerjasama erat antara negara anggota.
“Tiada negara anggota ASEAN, tanpa mengira sumber yang dimiliki, mampu menangani cabaran ini sepenuhnya secara bersendirian,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-20 di Cebu, Filipina hari ini.

Sehubungan itu, Mohamed Khaled berkata, ASEAN perlu membangunkan keupayaan tindak balas bencana serantau yang lebih kukuh, terselaras dan berkesan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan segera kepada kawasan terjejas.
“Dalam hal ini, Malaysia berpandangan bahawa ASEAN perlu berusaha membina keupayaan tindak balas bencana serantau yang lebih kukuh, lebih terselaras dan berkesan,” ujarnya.
Beliau berkata, ASEAN sebenarnya sudah mempunyai mekanisme kerjasama sedia ada, termasuk ASEAN Militaries Ready Group on Humanitarian Assistance and Disaster Relief (AMRG on HADR) yang menyediakan rangka kerja bagi menyelaras bantuan ketenteraan serta penempatan aset tentera ke kawasan yang dilanda bencana.
Mohamed Khaled bersama rakan sejawat dari Republik Filipina, TYT Gilberto C. Teodoro Jr.
Jelasnya, mekanisme itu pernah digunakan dalam tindak balas ASEAN terhadap gempa bumi di Myanmar pada tahun lalu, sekali gus menunjukkan kepentingan kerjasama ketenteraan dalam operasi bantuan kemanusiaan.
“Kita kini perlu membina kekuatan berasaskan asas yang sudah tersedia ini bagi memperkukuh kesiapsiagaan operasi, meningkatkan penyelarasan dan memastikan angkatan tentera kita dapat bertindak dengan pantas serta berkesan apabila bencana melanda,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled menegaskan bahawa usaha memperkukuh tindak balas bencana perlu bermula dengan rakyat melalui inisiatif lebih proaktif bagi meningkatkan keupayaan masyarakat membuat persediaan, menghadapi dan pulih daripada kesan bencana.

Beliau berkata, ketahanan masyarakat juga perlu disokong oleh keupayaan tempatan dan serantau yang kukuh supaya tindakan dapat dilaksanakan secara berkesan ketika berdepan situasi kecemasan.
“Semangat solidariti ini sememangnya antara kekuatan terbesar ASEAN. Namun, ketahanan kita mesti disertai usaha pencegahan dan kesiapsiagaan yang berterusan,” katanya.
Tambahnya lagi, ketahanan masyarakat perlu disokong dengan keupayaan tempatan dan serantau yang kukuh bagi memastikan ASEAN lebih bersedia menghadapi bencana serta mengurangkan kesannya terhadap rakyat.




