BRUSSELS: Tiga daripada empat juruterbang syarikat penerbangan di Eropah mengaku pernah tertidur di dalam kokpit semasa mengendalikan penerbangan, menurut hasil kajian terbaharu.
Tinjauan yang melibatkan hampir 7,200 kapten dan pegawai pertama mengesahkan bahawa kebanyakan juruterbang mengalami masalah kekurangan waktu rehat serta tekanan untuk memanjangkan tempoh syif perkhidmatan mereka.
Persatuan Kokpit Eropah (ECA) yang mengeluarkan laporan berkenaan mendedahkan bahawa juruterbang bimbang dikenakan tindakan tatatertib sekiranya membuat laporan berhubung isu keletihan sekali gus berpotensi mengancam keselamatan penerbangan.
Memuatkan artikel berkaitan…
Menerusi kajian berkenaan, kira-kira 75 peratus juruterbang mengaku pernah mengalami fenomena tidur mikro di dalam kokpit akibat kelesuan melampau.
Tidur mikro merujuk kepada keadaan di mana seseorang tertidur secara tidak sengaja untuk tempoh beberapa saat dan sering kali tidak disedari oleh individu berkenaan walaupun mata mereka mungkin kelihatan terbuka.
Isu kelesuan dalam kalangan juruterbang berpunca daripada jadual syif yang tidak menentu, gangguan biologi badan akibat perbezaan zon waktu dan kekurangan waktu tidur yang berkualiti.
Keadaan ini berisiko menjejaskan pertimbangan, melambatkan tindak balas serta mengurangkan tahap kewaspadaan ketika menghadapi situasi kecemasan.
Dapatan kajian turut menunjukkan bahawa 24 peratus juruterbang memilih untuk meneruskan tugasan berbanding melaporkan keadaan fizikal mereka yang kurang bertenaga akibat keletihan. Hanya 16.8 peratus yang mengambil cuti sakit apabila berdepan masalah berkenaan. – AGENSI




