razis@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) berpotensi menyebabkan pengambilan peguam muda merosot dengan ketara berikutan keupayaan teknologi itu melaksanakan sebahagian tugas guaman dengan lebih pantas pada kos lebih rendah.
Bekas Presiden Mahkamah Agung United Kingdom, Lord David Neuberger berkata, perkembangan itu boleh memberi kesan terhadap peluang pekerjaan peguam muda dalam jangka sederhana.
Beliau berkata, berdasarkan pelbagai laporan, AI mampu menyediakan draf awal ‘pliding,’ surat nasihat dan penyelidikan undang-undang yang setanding dengan hasil kerja peguam muda pada peringkat awal kerjaya tetapi dalam tempoh lebih singkat dan dengan kos lebih rendah.
“Wujud risiko bahawa pengambilan peguam muda akan merosot dengan mendadak,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Undang-Undang Malaysia Antarabangsa 2026, di sini, hari ini.
Beliau berkata, keadaan berkenaan dilaporkan sudah mula berlaku di London.
“Jika perkara itu benar-benar berlaku, ia bukan sahaja membimbangkan peguam muda, malah menimbulkan persoalan bagaimana kita hendak melahirkan generasi peguam kanan yang berpengalaman pada masa hadapan?” katanya.
Mengulas penggunaan AI dalam profesion perundangan, Neuberger berkata, beliau tidak melihat sebarang masalah untuk peguam atau hakim menggunakan teknologi itu sebagai alat bantu dalam menjalankan tugas.
“Jika AI adalah alat yang berguna, kita memerlukan alasan yang sangat kukuh untuk tidak menggunakannya.
“Namun, dari segi prinsip, peguam tetap bertanggungjawab menyediakan nasihat atau membentangkan kes, manakala hakim bertanggungjawab membuat keputusan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, AI pada masa ini masih belum boleh dipercayai sepenuhnya kerana berisiko menghasilkan maklumat rekaan atau ‘halusinasi,’ selain masalah lain.
Beliau berkata, di England, Mahkamah Rayuan pada tahun lalu secara terbuka mengkritik seorang peguam bela yang menggunakan AI tanpa membuat semakan ketika menyediakan hujahan bertulis kepada mahkamah sehingga dokumen itu mengandungi rujukan kepada keputusan kes terdahulu yang direka-reka.
“Justeru, saya ingin menegaskan bahawa apa-apa maklumat yang diberikan AI mesti disemak dengan teliti sebelum digunakan dalam nasihat, hujahan atau penghakiman,” katanya.
Neuberger turut membangkitkan kebimbangan bahawa penggunaan AI secara berlebihan boleh menjejaskan keupayaan seseorang untuk berfikir secara kritis dan melakukan analisis.
“Saya tidak tahu sama ada pandangan itu benar. Namun, sekurang-kurangnya bagi saya, terdapat asas yang munasabah di sebaliknya.
“Jika anda terbiasa merujuk AI secara automatik setiap kali berdepan masalah undang-undang, tidakkah timbul risiko bahawa keupayaan undang-undang anda akan merosot atau sekurang-kurangnya tidak berkembang sebagaimana sepatutnya?” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




