am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Seorang penuntut kolej didenda keseluruhan RM13,800 dan dipenjara 12 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku salah atas enam pertuduhan khianat dan ugutan pada September dan Oktober lalu.
Di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab, tertuduh, Muhammad Taufiq Jamal, 24, mengaku salah atas empat pertuduhan khianat dan ugutan.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan khianat dengan cara membaling cat merah di Jalan Setia 2/9 Taman Setia Indah, di sini, kira-kira 6.15 pagi 5 Oktober lalu.
Tertuduh juga didakwa melakukan khianat dengan cara memecahkan cermin Perodua Axia di No 32, Jalan NJM 3/4, Taman Nusa Jaya Mas, Skudai, Iskandar Puteri, pada 10.50 malam 19 September lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan itu tertuduh didenda masing-masing berjumlah RM4,000 dan RM2,500, selain diperintahkan hukuman penjara selama 12 bulan, jika gagal membayarnya.
Tertuduh turut berdepan dua pertuduhan melakukan ugutan jenayah dengan menakutkan Seow Chee Keong, 45, dan Muhammad Syazwi Azri Mohd Norzehan, 32, dengan cara menggunakan komunikasi tanpa nama.
Perbuatan itu dilakukan di Jalan Bakti 49, Taman Mutiara Rini, Skudai, di sini, pada 9.37 malam, 28 September lalu dan Jalan Kemuliaan 6, Taman Universiti, Skudai di sini, kira-kira 7.30 pagi, 2 Oktober lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen sama.
Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun sebagai tambahan kepada hukuman yang diperuntukkan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Bagi perbuatan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda masing-masing berjumlah RM3,800 dan RM3,500, selain diperintahkan hukuman penjara selama 10 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, lelaki itu dipenjara setahun selepas mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang lelaki menggunakan komunikasi tanpa nama yang ditulis pada sekeping nota.
Selain itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan khianat dengan cara menyimbah cat merah ke atas sebuah van sebuah syarikat.
Semua hukuman penjara ke atas tertuduh berjalan serentak.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal dan Nor Deana Aqilah Aliman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




