MB Perlis tunggu keputusan rayuan, akur ketetapan pimpinan BERSATU

MB Perlis tunggu keputusan rayuan, akur ketetapan pimpinan BERSATU

am@hmetro.com.my

Arau: Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, masih belum menerima keputusan berhubung rayuannya terhadap tindakan penggantungan keahlian dalam BERSATU.

Beliau berkata, pihaknya bersedia menerima apa juga keputusan pucuk pimpinan parti berhubung rayuan berkenaan, namun ketika ini mahu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran kerajaan negeri.

“Saya belum menerima apa-apa keputusan rayuan tetapi saya yakin dan yang penting, saya akan akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti. Saya nak buat kerja.

“Setakat ini, saya nampak pergerakan BERSATU sendiri dan saya masih lagi ahli BERSATU. Saya memberikan sokongan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Perlis yang sedang berusaha menghidupkan semula cawangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Peletakan Batu Asas Pembinaan Pelabuhan Sanglang di bekas tapak Pos AKSEM, Jalan Pantai, Sanglang, di sini, hari ini.

Abu Bakar berkata, beliau yakin dengan kredibiliti dan pengalaman kepemimpinan BERSATU negeri dalam usaha menghidupkan semula cawangan parti di bahagian Kangar, Arau dan Padang Besar.

Beliau turut menyifatkan turun naik sokongan sebagai lumrah dalam politik.

Keahlian Abu Bakar dalam BERSATU digantung selama dua penggal pemilihan berkuat kuasa 13 Oktober lalu susulan dakwaan pelanggaran Fasal 9.1.4 Perlembagaan BERSATU serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

Susulan tindakan itu, beliau mengemukakan rayuan rasmi melalui saluran parti yang ditetapkan.

Bagaimanapun, Abu Bakar berkata, penggantungan keahlian berkenaan tidak menjejaskan kedudukannya sebagai Menteri Besar Perlis.

Katanya, kedudukannya sebagai ketua kerajaan negeri tertakluk kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis, manakala pentadbiran kerajaan negeri terus berjalan seperti biasa tanpa dipengaruhi kemelut dalaman parti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top