Kalau internet sudah ada dalam telefon dan boleh dibawa ke mana-mana, mungkin ada yang tertanya-tanya untuk apa lagi komuniti memerlukan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI)?
Jawapannya mungkin bukan lagi semata-mata untuk mendapatkan internet, sebaliknya apa yang boleh dilakukan dengan akses itu apabila ia digabungkan dengan kemahiran dan peluang yang betul.
Peranan NADI kini berkembang daripada sekadar menyediakan capaian internet kepada hab pembangunan komuniti dengan pelbagai kemahiran dan perkhidmatan yang lebih dekat dengan keperluan masyarakat.
Antaranya menerusi NADI Mahir yang menawarkan latihan seperti jahitan, masakan, fotografi, membaiki gajet dan pertanian pintar.
Bagi sesetengah peserta, apa yang bermula sebagai kelas kemahiran akhirnya bertukar menjadi sumber pendapatan.
Di NADI Kanchong Darat, Banting misalnya, Nurul Aini Hayati Rashidi, 23, kini dilaporkan mampu menjana sekitar RM1,400 sebulan dengan bekerja dari rumah selepas menyertai program NADI Mahir Jahit.
Seorang lagi peserta, Nurul Syuhada Rashidi yang juga ibu tunggal, memperoleh pendapatan sehingga RM900 sebulan menerusi tempahan pakaian seragam, sekali gus membantunya menyara kehidupan bersama anak kecil.
“Pendapatan saya kini mencecah RM900 sebulan dan mampu membantu saya menanggung kehidupan diri sendiri serta anak kecil,” katanya.
Sehingga Ogos lalu, kira-kira 27,000 peserta dilaporkan telah mengikuti NADI Mahir sejak diperkenalkan, manakala 120 alumni program jahitan turut terlibat menghasilkan dan menjual kira-kira 3,000 pakaian seragam sekolah kepada komuniti.
Daripada kemahiran seperti menjahit, memasak atau membaiki gajet, NADI kini turut membawa satu lagi kemahiran yang semakin mendapat perhatian iaitu kecerdasan buatan (AI).

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, pada Jun lalu berkata, kerajaan mahu melahirkan anak muda yang bukan sahaja tahu menggunakan teknologi AI, tetapi mampu memanfaatkannya untuk menghasilkan sesuatu yang mempunyai kegunaan sebenar.
“Kita mahu ada jurutera prompt, anak muda yang fahami bukan hanya macam mana nak guna Gemini, Copilot, tapi semua perkakasan AI untuk bangunkan aplikasi baharu yang mampu bantu mereka di lapangan,” katanya.
Menerusi program 1 NADI, 1 Prompt Engineer, peserta mengikuti latihan khusus sebelum diharapkan menjadi tempat rujukan berkaitan AI kepada masyarakat setempat.
Ketua Pejabat NADI MCMC, Dr Mohd Arif Adenan berkata, pendekatan itu membolehkan ilmu berkaitan teknologi berkenaan dibawa lebih dekat kepada komuniti.
“Maknanya, kalau komuniti nak tahu tentang AI, dia tak perlu menghadiri kelas bayar mahal-mahal, sebaliknya dia boleh rujuk kepada prompt engineer yang ditempatkan di setiap NADI.
“Hasrat kita ialah melahirkan bakat AI di kawasan luar bandar sekali gus memberi peluang kepada anak muda bekerja secara jarak jauh dari tempat tinggal masing-masing, tanpa perlu berhijrah ke bandar semata-mata untuk mendapatkan peluang pekerjaan,” katanya dalam laporan Bernama.
Dengan 1,099 NADI di seluruh negara dan lebih 1.9 juta ahli, mungkin ukuran kejayaannya hari ini bukan lagi sekadar berapa ramai yang berjaya mendapat akses internet, tetapi apa yang mereka berjaya lakukan selepas mendapat akses tersebut.
KREDIT GAMBAR UTAMA: NADI KG BARU GUA MUSANG




