Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh merayu orang ramai supaya menghentikan sebarang sumbangan wang ke akaun peribadinya bagi memudahkan urusan pengagihan dana yang telah diterima kepada golongan memerlukan.
Menurut beliau, sumbangan masih diterima sehingga kini meskipun sebelum ini sudah memaklumkan agar orang ramai tidak lagi membuat sebarang transaksi ke akaunnya.
“Sehingga hari ini, saya sangat bersyukur kerana masih ada insan berhati mulia yang menyalurkan sumbangan ke akaun saya, walaupun sebelum ini saya telah memaklumkan bahawa saya mohon untuk tidak menyalurkan apa-apa ke akaun saya,” katanya menerusi satu kenyataan.
Jelas beliau, permintaan itu dibuat bagi memastikan setiap sumbangan yang diterima dapat diurus dan disalurkan kepada penerima yang memerlukan dengan sebaik mungkin.

Beliau turut meluahkan kebimbangan sekiranya terdapat sumbangan yang terlepas pandang sehingga menyebabkan wang berkenaan tidak sempat diagihkan dan terus berbaki dalam akaunnya.
“Setiap sen yang dihulurkan adalah amanah, dan saya tidak mahu ada amanah yang gagal saya tunaikan,” tegasnya.
Dalam pada itu, Akmal merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas kepercayaan, keprihatinan dan kemurahan hati mereka yang terus menghulurkan bantuan.
Beliau turut mendoakan agar segala kebaikan penyumbang mendapat ganjaran berlipat ganda daripada Allah SWT.
Sumber: FB Akmal Saleh





