'Jangan bimbang, semuanya baik' -Ahmad Zahid

'Jangan bimbang, semuanya baik' -Ahmad Zahid

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta semua pihak terus kekal tenang, selain memberi bayangan isu agihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sudah diselesaikan.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menasihati orang ramai supaya tidak bimbang kerana semuanya dalam keadaan baik.

“Jangan bimbang, semuanya berada dalam keadaan baik. Kita geng biru (BN),” katanya.

Dalam hantaran sama, Ahmad Zahid yang juga memuat naik gambar bersama Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Difahamkan, mereka sebelum itu mengadakan pertemuan bersama Ahli Parlimen daripada BN secara tertutup di Parlimen dekat sini, tengah hari tadi.

Difahamkan juga, pertemuan itu berjaya meleraikan kekusutan agihan kerusi membabitkan MCA.

MCA sebelum ini dilaporkan menuntut dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tambahan iaitu DUN Bemban dan Kesidang.

Semalam, Ahmad Zahid mengesahkan perbincangan khas bersama kepemimpinan MCA berhubung pembahagian kerusi pada PRN Melaka selesai dengan perkembangan positif.

Perbincangan itu membabitkan Ka Siong, Zambry serta Pengerusi BN Melaka merangkap Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Baru-baru ini, MCA dilaporkan bertegas tidak mengiktiraf mana-mana calon parti itu yang diumumkan BN bagi PRN Melaka tanpa persetujuan kepemimpinan tertinggi parti.

Ka Siong dipetik berkata, tindakan mengumumkan calon tanpa rundingan dan persetujuan parti itu tidak boleh diterima, selain mendakwa kerusi yang sebelum ini ditandingi parti itu diberikan kepada parti lain.

Perkembangan itu menimbulkan persoalan mengenai kedudukan dua penyandang MCA yang diumumkan BN sebagai calon pada malam Sabtu lalu iaitu Datuk Ngwe Hee Sem bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Machap Jaya dan Datuk Lim Ban Hong di Klebang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top