am@hmetro.com.my
Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur sikap segelintir pihak yang mudah melabel orang lain sebagai murtad dan munafik hanya dengan berbekalkan ilmu agama yang sedikit.
Katanya, kecenderungan membuat penghakiman terhadap orang lain hanya berasaskan pengetahuan agama yang sedikit mencerminkan masalah lebih besar, iaitu kelemahan dalam membina kefahaman dan mengamalkan nilai Islam dalam kehidupan.
Katanya, tradisi ilmu dan pencerahan perlu diperkukuh bagi memastikan perbincangan berkaitan agama tidak mencetuskan ketegangan, sebaliknya membantu membina kefahaman dalam kalangan masyarakat.
“Kalau tidak sekarang ini, banyak juga masalah, belajar agama sedikit, terus hukum, jadi ‘takfiri’, terus murtadkan orang dan memunafikkan orang.
“Apabila dibahas di Parlimen, dia kata ini pemimpin munafik dan belanjawannya munafik,” katanya ketika berucap pada Majlis Ilmu MADANI Bersama Perdana Menteri yang dihadiri pendakwah Indonesia terkenal, Ustaz Abdul Somad Batubara di sini, hari ini.
Hadir sama, isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zulkifli Hasan dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar berkata, pemimpin seharusnya mempunyai tanggungjawab untuk memberikan teladan yang baik, khususnya dalam menerapkan tradisi ilmu, kesederhanaan dan toleransi.
“Nak merangka belanjawanan (sebelum) ini, (kita) tanya apakah yang boleh baik untuk Islam, apa lagi nak ditambah. Dulu kita tinggalkan madrasah, pondok, pesantren, kita bina semula.
“Dulu kita ketepikan syeikh dan guru agama, (kini) kita panggil (mereka) dan minta pandangan,” katanya.
Katanya, pendekatan berasaskan hikmah, nasihat yang baik dan perbahasan secara terbaik amat penting dalam konteks Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang agama.
“Mengapa kita hidupkan syarahan dan pengajian serta kuliah MADANI ini? Kerana apa-apa perubahan itu tentunya dari akal tetapi juga perubahan itu berdasarkan contoh dalam sistem pemerintahan Islam (bahawa) tanggungjawab itu tentu terpikul oleh semua,” katanya.
Anwar berkata, usaha mengangkat martabat umat perlu bermula dengan penguasaan ilmu dan kesedaran, selain pembentukan akhlak serta keperibadian yang baik.
Beliau turut menegaskan bahawa kelemahan dalam memahami sesuatu perkara tidak seharusnya ditangani dengan sekadar membangkitkan masalah, sebaliknya perlu disusuli usaha mencari penyelesaian menerusi ilmu dan kefahaman.
“Cuma saya nak bagi tahu, ini hanya ‘symptomatic of the real problem, including those who profess Islam‘ tetapi mereka tidak boleh memberikan contoh yang baik dari akhlak, segi peribadi, kesederhanaan dan toleransi.
“Umpamanya kalau di Indonesia mungkin 10 peratus ‘non-muslim’, negara ini 40 peratus dan menguasai banyak bidang. Jadi itu lebih tercabar bagi kita ketimbang yang lain,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




