KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) memfailkan permohonan kebenaran bagi memulakan prosiding komital (menghina mahkamah) terhadap Pendaftar Pertubuhan (RoS), Datuk Mohd. Zulfikar Ahmad.
Permohonan itu difailkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bersama empat yang lain dengan menamakan Mohd. Zulfikar sebagai responden tunggal.
Perkara itu disahkan peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili gabungan parti itu.
Memuatkan artikel berkaitan…
Tindakan undang-undang itu dibuat susulan keputusan jabatan berkenaan membatalkan pendaftaran gabungan parti tersebut ketika permohonan semakan kehakiman dan penangguhan yang difailkan masih berjalan.
Dalam permohonan itu, PN mendakwa tindakan RoS itu disengajakan dan bermaksud mendahului keputusan mahkamah (pre-empt) sekali gus cuba mengganggu serta menghalang pentadbiran keadilan yang wajar.
Langkah itu didakwa bertujuan menjadikan permohonan semakan kehakiman oleh gabungan parti tersebut menjadi akademik dan sia-sia.
Pada 22 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan perintah penangguhan yang dimohon oleh PN, termasuk menghalang RoS daripada memberi kesan kepada pembatalan tersebut sementara menunggu pelupusan penuh kes.
Permohonan itu difailkan semalam (27 Oktober), dengan pengurusan kes secara dalam kamar ditetapkan pada 12 November ini.
Pada 20 Oktober lalu, RoS membuat keputusan untuk membatalkan pendaftaran PN di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.
Keputusan itu dibuat selepas jabatan itu menerima maklum balas daripada PN pada 12 Oktober lalu setelah pihaknya mengeluarkan notis pada 22 September lalu .
Penelitian keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan mendapati alasan yang diberikan tidak dapat menyangkal asas-asas pembatalan pendaftaran sebagaimana yang dinyatakan dalam notis tersebut.-UTUSAN




