JOHOR BAHRU: Pengendali Port FC, Bozidar Bandovic mengakui sukar untuk mengekang kemaraan Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika tewas 0-3 dalam aksi Zon Timur Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.
Pengendali kelahiran Greece itu berkata, skuad Port Lions itu tampil dengan corak permainan bertahan dengan membariskan empat pertahanan dan dibantu lima pemain tengah bagi menyekat pergerakan JDT.
Katanya, taktikal itu hanya menjadi pada babak pertama sahaja setelah skuad Harimau Selatan berjaya merungkai benteng ampuh yang dipamerkan kelab Thailand itu.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Kita bermain secara kompak berjaya menutup ruang buat pemain JDT bergerak dan sekali gus menyukarkan lawan untuk menyusup masuk ke dalam kotak penalti.
“Ini memaksa pemain lawan hanya melakukan rembatan dari luar kotak penalti namun sebaik babak kedua bermula, sedikit kecuaian membenarkan JDT menjaringkan gol pembukaan diikuti gol kedua menerusi gerakan sama dari sayap kanan.
“Kita cuba bangkit dengan membawa masuk Costa Da Silva namun kemasukannya tidak beri impak kepada barisan serangan kerana dia baru sahaja pulin daripada kecederaan, JDT lebih baik dan mereka layak untuk menang,” katanya.
Bandovic juga menyifatkan ketiadaan dua tonggak utama, Kaka Mendes dan Matheus Lins serta faktor jadual perlawanan yang padat turut memberi kesan kepada persembahan pasukan. – UTUSAN




