Kuala Lumpur: Ibu bapa digesa tidak membenarkan anak berusia bawah 16 tahun menggunakan aplikasi WhatsApp bagi mengurangkan risiko terdedah kepada buli siber dan penyebaran kandungan tidak sesuai.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata penggunaan aplikasi berkenaan perlu diberi perhatian kerana ibu bapa tidak mengetahui anak berkomunikasi dengan siapa atau apa kandungan yang dikongsi dalam kumpulan sembang.
Beliau berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan dengan memantau aktiviti digital anak serta memastikan mereka memahami risiko berinteraksi dengan individu tidak dikenali dan berkongsi kandungan di media sosial.
Beliau berkata, walaupun WhatsApp boleh digunakan untuk memudahkan komunikasi antara ahli keluarga, platform itu turut berpotensi menjadi ruang berlaku buli siber dan penyebaran pelbagai kandungan yang boleh memberikan kesan negatif kepada kanak-kanak.
“Saya juga sedikit risau kerana ada platform komunikasi tertentu seperti WhatsApp dan Telegram yang menggunakan penyulitan hujung ke hujung, membolehkan kumpulan tertentu diwujudkan tanpa pengetahuan orang awam.
“Kumpulan ini bukan kumpulan awam, sebaliknya kumpulan peribadi dan kadangkala isu buli bermula atau berleluasa dalam kumpulan seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program Pelajar Pemacu Negara: ‘Sayangi Diri, Jauhi Dadah dan Hargai Kehidupan’, di sini hari ini.
Program yang disertai 336 pelajar daripada 122 sekolah menengah dari Kuala Lumpur dan Putrajaya itu turut dihadiri Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.
Selain itu, Fahmi berkata, sebanyak 47,412 kandungan bersifat buli siber dikenal pasti dan diminta diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sejak Januari hingga semalam, dengan 81 peratus daripadanya membabitkan platform TikTok.
Beliau berkata, Facebook menjadi platform kedua tertinggi dengan 12 peratus daripada kandungan buli siber yang dikenal pasti.
“Dari awal tahun hingga semalam, kandungan bersifat buli siber yang dikenal pasti oleh MCMC adalah berdasarkan aduan awam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




