Kediaman mewah jadi pusat penipuan pelaburan, 20 warga asing ditahan

Kediaman mewah jadi pusat penipuan pelaburan, 20 warga asing ditahan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen menyerbu empat unit kediaman mewah di Pudu yang disyaki dijadikan pusat penipuan pelaburan dalam talian, semalam dengan 20 warga asing ditahan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata serbuan di sekitar Jalan San Peng itu dijalankan selepas risikan selama dua minggu.

Beliau berkata, operasi bermula jam 11.45 pagi membabitkan sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Seramai 20 warga asing berusia antara 23 hingga 43 tahun ditahan, terdiri daripada lima lelaki Taiwan, empat lelaki China, empat lelaki India serta empat lelaki dan dua wanita Thailand.

“Seorang lagi yang ditahan ialah wanita warga India,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zakaria berkata, sindiket dipercayai menyewa kediaman mewah untuk dijadikan pusat operasi penipuan pelaburan bagi mengaburi pihak berkuasa.

Beliau berkata, kegiatan itu dipercayai dikendalikan beberapa kumpulan warga China, Taiwan, Thailand dan India yang menyasarkan mangsa mengikut negara tertentu.

“Setiap kumpulan dipercayai menyasarkan mangsa berbeza di beberapa negara, termasuk Thailand, India, Taiwan dan Jepun.

“Siasatan juga mendapati pekerja warga asing di premis berkenaan tidak dibenarkan keluar secara bebas, manakala bekalan makanan dihantar menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan,” katanya.

Beliau berkata, sindiket dipercayai beroperasi sejak sebulan lalu dengan waktu operasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

Katanya, pemeriksaan turut menemukan skrip penipuan dalam bahasa Thailand, selain pelbagai peralatan komunikasi dan komputer.

“Antara barangan yang disita ialah 45 telefon bimbit, lapan set komputer meja, tiga komputer riba, lima penghala internet dan empat alat komunikasi walkie-talkie.

“Pasukan operasi turut menyita 11 pasport warga asing, kad akses, wang tunai RM5,370 serta beberapa mata wang asing,” katanya.

Zakaria berkata, mata wang asing yang disita ialah 1,400 kyat Myanmar, 36,000 riel Kemboja, 4.28 juta dong Vietnam dan 31,000 dolar Taiwan.

Katanya, pelbagai jenis ubat yang dipercayai berasal dari luar negara turut ditemukan di sebuah unit kediaman yang diperiksa.

Mereka dibawa ke Pejabat Imigresen untuk siasatan lanjut yang dijalankan mengikut Seksyen 56(1)(d), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Zakaria berkata, Imigresen akan terus mempergiatkan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan yang melanggar undang-undang negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top