redzuan.muharam@hmetro.com.my
Shah Alam: “Dia suami yang baik, malah banyak bantu saya urus anak dan keluarga jadi pemberian itu adalah hadiah tanda cinta saya terhadapnya.”
Itu kata Nor Izati Mat Yusoff, 36, ketika berkongsi kisahnya mendermakan buah pinggang kiri buat suami tercinta, Wan Mohd Arif W Mohamad Nasir, 37, yang menghidap penyakit buah pinggang kronik tahap empat atau CKD sejak empat tahun lalu.
Nor Izati dan suaminya menjalani prosedur pemindahan dan penerimaan buah pinggang pada 13 Ogos lalu di Hospital Selayang, Selangor.
Berkongsi kisahnya, Nor Izati yang menetap di Seksyen 27, di sini, berkata, keputusan itu dibuat dengan rela hati kerana tidak sanggup melihat suaminya berterusan menjalani dialisis darah.
Bercerita lanjut, Nor Izati yang juga guru Sains di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alam Megah, di sini, dan ibu kepada tiga anak mengakui ‘terduduk’ selepas dimaklumkan doktor bahawa suaminya menghidap CKD.
“Tak sangka kerana tiada tanda langsung yang suami ada sakit kronik dan lebih menyedihkan apabila dia perlu menjalani dialisis dengan kekerapan tiga kali seminggu kemudian berhenti kerja.
“Ikutkan, sebelum suami mula buat dialisis lagi, saya sudah baca dan cari maklumat mengenai pemindahan buah pinggang dan ada juga bertanya dengan doktor mengenainya.
“Memang ada niat nak buat, tapi tangguhkan kerana pada awalnya, emak tak bersetuju. Suami pun menolak kerana dia bimbang pemindahan buah pinggang itu akan membawa mudarat buat saya,” katanya kepada Harian Metro.
Bagaimanapun, Nor Izati nekad dengan keputusannya selepas mendapatkan nasihat doktor serta meyakinkan suami dan keluarga, terutama ibunya.
Katanya, beberapa proses perlu dilalui, antaranya saringan kesihatan, ujian darah bagi melihat keserasian, ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan penilaian lain.
“Banyak janji temu di hospital juga yang perlu dihadiri dan selain aktif bersenam mulai Jun lalu.
“Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan apabila tak perlu tunggu lama untuk dapat tarikh pembedahan.
“Cuma gementar dan menangis juga sebelum nak masuk bilik bedah kerana risau dengan kemungkinan saya atau suami tak dapat diselamatkan dalam pembedahan itu.
“Ia kerana risiko kematian ada walaupun rendah, tapi saya tawakal saja dan serahkan kepada Allah SWT. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan saya dapat keluar hospital tiga hari selepas pembedahan diikuti suami dua hari kemudian,” katanya.
Menurut Nor Izati, keadaannya sudah stabil, malah sudah kembali bertugas sejak sebulan lalu.
Nor Izati berkata, suaminya juga tidak mengalami sebarang komplikasi, namun perlu bergantung pada ubat antipenolakan buah pinggang.
“Jujurnya saya puas kerana dapat membantu suami kerana jika bukan saya, siapa lagi…saya buat pun (menderma buah pinggang) kerana tak tahu apa akan berlaku di kemudian hari nanti.
“Jadi, ikhtiar apa yang termampu dan menurut doktor, saya boleh teruskan hidup macam biasa cuma kena jaga pemakanan dengan mengambil makanan sihat,” katanya yang berharap permohonannya untuk berpindah mengajar di kampung halamannya di Kelantan diluluskan.
Sementara itu, suaminya, Wan Mohd Arif, bersyukur dan sangat menghargai pengorbanan isteri kerana sanggup menderma buah pinggang buatnya.
Menurut Wan Mohd Arif, pengorbanan itu terlalu besar dan tidak mampu dibayar dengan wang ringgit.
“Berat hati nak terima waktu isteri beritahu nak dermakan buah pinggangnya kerana fikir jika apa-apa berlaku, macam mana saya nak hadap keluarganya.
“Tapi, isteri nekad jadi saya terima juga…saya terhutang budi dengannya dan akan menjaga amanah itu.
“Selagi bernyawa, saya akan sentiasa di sampingnya dan Allah SWT saja dapat membalasnya.
“Saya doakan semoga urusan isteri dipermudahkan di dunia dan akhirat serta segala permintaannya dimakbulkan Allah SWT,” katanya yang sebelum ini bekerja sebagai pegawai logistik di sebuah syarikat, namun terpaksa berhenti sejak Januari lalu berikutan masalah kesihatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




