KUANTAN: Kedudukan pesawah di Selangor tidak wajar dibandingkan dengan negeri-negeri lain seperti Kedah, Pahang, Melaka, Kelantan atau Terengganu kerana hampir 95 peratus daripada mereka adalah pesawah benih yang beroperasi di bawah ladang kontrak syarikat pengeluar benih.
Pengurus Operasi Syarikat Kilang Beras Melayu Jati, Mujahid Che Hamid berkata, struktur itu memberi kelebihan besar kepada pesawah di Selangor kerana sentiasa menerima sokongan dan keistimewaan daripada syarikat pengeluar.
“Mereka berada dalam ekosistem yang dijamin, berbeza dengan pesawah di negeri lain yang bergantung kepada pasaran terbuka dan berdepan risiko pemutuan serta kos input yang tidak menentu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Memuatkan artikel berkaitan…
Isnin lalu, akhbar ini melaporkan, industri padi dan beras tempatan kini berdepan tekanan kritikal apabila rantaian bekalan daripada peringkat hulu hingga ke hilir terhimpit akibat jurang harga yang tidak seimbang, sekali gus mengancam kelangsungan hidup petani serta daya tahan pengusaha kilang.
Mujahid berkata perbandingan yang sering dibuat antara Selangor dan negeri lain boleh menimbulkan salah faham.
“Jika mahu menilai keadaan sebenar pesawah, lihatlah kepada negeri yang bergantung kepada hasil padi tanpa sokongan ladang kontrak. Di situlah kelangsungan hidup petani benar-benar diuji,” ujarnya.
Beliau turut memberi amaran bahawa naratif yang menyamakan semua negeri boleh menutup suara pesawah kecil.
“Kita mesti berlaku adil. Jangan biarkan keistimewaan segelintir kawasan dijadikan ukuran nasional, sedangkan majoriti pesawah masih bergelut dengan kos dan harga lantai yang tidak seimbang,” tegasnya.
Beliau menyeru agar dasar pertanian beras negara disusun semula berdasarkan realiti di pangkal rantaian.
“Jaga pesawah di negeri-negeri yang tiada ladang kontrak, pastikan kilang berdaya maju, dan lindungi pengguna. Itu asas yang mesti dipertahankan,” katanya.
Mujahid dilaporkan berkata, harga beras di pasaran borong RM2,300 satu tan metrik tidak lagi mampu menampung kos pengeluaran yang mencecah RM2,500 bagi kuantiti sama.
Katanya, kerugian RM200 bagi setiap tan metrik itu belum mengambil kira kos kendalian kilang, sekali gus meletakkan pengusaha tempatan dalam keadaan semakin terhimpit. – UTUSAN




