MCA, UMNO ibarat adik-beradik.. Rapatkan saf hadapi PRN Melaka

MCA, UMNO ibarat adik-beradik.. Rapatkan saf hadapi PRN Melaka

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menegaskan kepentingan mempererat kerjasama antara parti itu dan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurut laporan Utusan Malaysia, beliau berkata, MCA dan UMNO mempunyai sejarah kerjasama yang panjang sebagai parti tunjang Barisan Nasional (BN), justeru hubungan erat antara kedua-dua parti itu perlu terus dipelihara demi kelangsungan perjuangan bersama.

“Kami telah bersetuju bahawa hubungan akrab antara parti BN sangat penting, UMNO dan MCA sebagai parti tunjang dalam BN dan ini sudah lama kami bekerjasama.
“Kami diibaratkan sebagai adik-beradik dan kami pernah bantu antara satu sama lain. Kedua parti ini mempunyai sejarah yang agak panjang dan saya rasa dalam konteks ini kita perlu merapatkan saf untuk teruskan perjuangan bersama,” katanya.

Foto arkib: Bernama

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Wisma MCA, Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu, Wee berkata, MCA turut menerima jaminan bahawa peranan parti itu dalam mewakili masyarakat Cina akan terus diberi perhatian dan tidak dipinggirkan.

Menurutnya, usaha mengekalkan serta memperkukuh representasi masyarakat Cina melalui MCA merupakan antara perkara penting dalam kerjasama berkenaan.

“Yang penting adalah jaminan untuk kami ataupun masyarakat Cina melalui MCA dapat kami mengekalkan representasi atau memperkukuhkan representasi,” ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia (Noraina Hanis Abd. Halim)

Scroll to Top