Nahas tren ragut 68 nyawa, Sanchez isytihar tiga hari berkabung

Nahas tren ragut 68 nyawa, Sanchez isytihar tiga hari berkabung

MADRID: Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez mengisytiharkan tiga hari berkabung selepas sekurang-kurangnya 68 orang maut dan puluhan lagi cedera dalam insiden perlanggaran dua tren berkelajuan tinggi semalam.

Imej dari lokasi kejadian menunjukkan sebuah tren tergelincir dari landasan dengan sekurang-kurangnya satu gerabak masih berada di bahagian landasan bertingkat. Besi yang remuk, panel pecah dan serpihan tren bertaburan di cerun di bawah landasan kereta api itu.

Kedua-dua tren itu, masing-masing milik syarikat kereta api milik kerajaan Sepanyol, Renfe dan syarikat swasta, Iryo, bergerak ke arah sama pada pagi Rabu di laluan yang menghubungkan ibu negara Madrid dengan wilayah Andalusia di selatan negara itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selepas tren Iryo berhenti, sebuah lagi tren merempuh bahagian belakangnya, menyebabkan beberapa gerabak tergelincir dari landasan berhampiran bandar Urda.

Tragedi itu merupakan nahas tren berkelajuan tinggi kedua yang mengorbankan banyak nyawa di Sepanyol tahun ini, sekali gus mengejutkan negara yang sekian lama terkenal dengan rangkaian kereta apinya yang luas.

“Hari ini, seluruh Sepanyol berkabung,” kata Sanchez.

Insiden maut itu dipercayai berpunca daripada kesilapan yang sukar dijelaskan di pusat kawalan utama.

Kedua-dua tren berkenaan dilaporkan membawa 544 penumpang dengan seramai 107 lagi individu memerlukan rawatan di hospital, termasuk 15 orang yang berada dalam keadaan serius.

Pada Januari lalu, 46 orang maut dan puluhan lagi cedera apabila dua tren, masing-masing milik Renfe dan Iryo, bertembung di laluan sama berhampiran bandar Adamuz di Andalusia.

Pada Rabu, Sánchez berkata, keadaan itu tidak boleh diterima bagi sebuah negara seperti Sepanyol untuk mengalami dua nahas tren berkelajuan tinggi dalam tahun yang sama, seperti yang berlaku sekarang.

Beliau berkata, punca nahas terbaharu itu masih disiasat.

“Jika siasatan mendapati kejadian berpunca daripada kegagalan sistem keselamatan atau kecuaian, kelemahan berkenaan akan ditangani dengan ketegasan sepenuhnya,” katanya.-AGENSI

Scroll to Top