farahmarshita@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan terbuka untuk menubuhkan pasukan petugas bagi menangani penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) ketika pilihan raya termasuk penyebaran kandungan mengelirukan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, cadangan itu akan dikemukakannya susulan kebimbangan terhadap kemungkinan kesan penyalahgunaan AI ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU).
“Saya tiada halangan untuk mengemukakan cadangan itu. Jika terdapat cadangan yang baik dan boleh membantu kita mengambil tindakan, kita terbuka menerimanya.
“Kita juga perlu meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertimbangkan pendekatan yang bersesuaian.
“Kita boleh menyediakan kerangka kerja dan membangunkan platform yang selamat, tetapi kita perlu duduk berbincang dengan suruhanjaya itu mengenai perkara berkaitan dasar,” katanya ketika Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang meminta menyatakan sama ada kerajaan bercadang menubuhkan pasukan petugas bagi membendung penyalahgunaan AI ketika PRN dan PRU berikutan kebimbangan terhadap imej yang dimanipulasi sehingga boleh mengelirukan orang ramai dan mendatangkan kemudaratan.
Berkenaan cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus AI, Gobind berkata, kerangka berkenaan akan merangkumi pengurusan risiko AI, akauntabiliti pihak yang terbabit dalam pembangunan dan penggunaannya serta mekanisme pelaporan dan pengurusan insiden.
Katanya, tanggungjawab akan ditentukan berdasarkan peranan sesuatu pihak, tahap kawalan dan risiko yang berkaitan dengan sistem AI sepanjang kitaran hayatnya.
“Kita perlu melihat pihak yang membangunkan penyelesaian berasaskan AI, bagaimana penyelesaian atau perkhidmatan itu digunakan, serta bagaimana penggunaannya boleh dikawal selia.
“Kita juga perlu mempertimbangkan mekanisme pelaporan dan cara insiden boleh diuruskan apabila laporan diterima.
“Apabila sesuatu masalah berlaku, kita perlu mengenal pasti dengan tepat apa yang tidak kena. Selepas laporan diterima, agensi berkaitan akan meneliti perkara itu dan menentukan cara menangani masalah yang timbul daripada insiden yang dilaporkan,” katanya.
Gobind berkata, RUU itu dijangka menyediakan asas perundangan bagi memastikan pihak yang membangunkan, menyediakan atau menggunakan sistem AI memikul tanggungjawab sewajarnya untuk mengenal pasti, menilai dan mengurus risiko.
“Ia termasuk mengambil langkah pencegahan dan mitigasi, selain memastikan tindakan pembetulan dapat dilaksanakan sekiranya berlaku insiden, kegagalan sistem atau kemudaratan berkaitan penggunaan AI, katanya.
Tambahnya, AI menimbulkan risiko yang semakin kompleks dan memerlukan kepakaran serta kerjasama antara agensi kerajaan, memandangkan teknologi itu memberi kesan kepada pelbagai kementerian dan sektor.
“AI Malaysia Bhd ditubuhkan bagi menghimpunkan pakar untuk menasihati kerajaan mengenai struktur sedia ada dan cara menambah baiknya bagi menangani cabaran teknologi yang semakin berkembang,” katanya.
RUU itu dijangka dibentangkan di Parlimen pada awal tahun depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




