Ahmad Zahid arah FELCRA tanggung yuran penuh anak peserta cemerlang SPM, STPM

Ahmad Zahid arah FELCRA tanggung yuran penuh anak peserta cemerlang SPM, STPM

MELAKA – FELCRA Berhad diarah menanggung sepenuhnya yuran pengajian anak-anak peserta yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sehingga tamat pengajian.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu bagi memastikan kecemerlangan akademik anak-anak peserta FELCRA terus mendapat pengiktirafan, selain mengelakkan kekangan kewangan menjadi penghalang kepada masa depan mereka.

“Saya mengarahkan pengurusan FELCRA menanggung sepenuhnya yuran pengajian sehingga tamat pengajian bagi mereka yang memperoleh semua A dalam SPM atau PNGK 4 dalam STPM.

“Saya mahu kecemerlangan anak-anak ini diberikan pengiktirafan dan kekangan kewangan tidak boleh menjadi penghalang masa depan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengisytiharan Agihan Keuntungan Interim 2/2026 Projek-projek Peserta FELCRA Berhad di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini pada Khamis.

Ahmad Zahid menyampaikan cek cura keuntungan boleh agih FELCRA RM190.6 juta pada Khamis. Foto SINAR HARIAN/NORAFIZA JAAFAR

Ahmad Zahid menyampaikan cek cura keuntungan boleh agih FELCRA RM190.6 juta pada Khamis. Foto SINAR HARIAN/NORAFIZA JAAFAR

Turut hadir, Pengerusi FELCRA, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, pendidikan dan kemahiran perlu dijadikan pelaburan penting bagi memastikan generasi seterusnya dalam kalangan keluarga peserta mempunyai lebih banyak pilihan pekerjaan serta peluang keusahawanan.

“Usaha berkenaan perlu disokong menerusi pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), termasuk dengan menghubungkan anak-anak peserta FELCRA kepada peluang latihan serta pekerjaan yang ditawarkan industri.

“Peruntukan tambahan RM10 juta kepada Melaka TVET Centre of Excellence dan penganjuran Karnival TVET Negeri Melaka 2026 yang menghimpunkan 32 majikan dengan tawaran 2,232 jawatan kosong perlu dimanfaatkan bagi tujuan itu,” katanya.

Beliau turut berkata, Kolej FELCRA menerusi kerjasama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) menawarkan program Diploma Pengurusan Industri Perladangan bagi melahirkan tenaga mahir dalam sektor berkenaan.

Ahmad Zahid turut berharap Kolej FELCRA memberikan penekanan kepada program TVET Pertanian bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam bidang teknologi pertanian.

Pada perkembangan sama, beliau berkata, FELCRA juga diarahkan menyediakan bantuan khas kepada peserta kategori B40 yang terlibat dalam program tanam semula sepanjang tempoh menunggu tanaman mengeluarkan hasil.

Katanya, bantuan itu perlu diberikan dengan keutamaan khusus menjelang sambutan Aidilfitri bagi memastikan kebajikan peserta terus terpelihara sementara menunggu pulangan daripada hasil ladang.

“Tanah terus memberikan pulangan, ibu bapa mempunyai pendapatan dan anak-anak memiliki kepakaran serta kebajikannya terjaga.

“Apabila ketiga-tiganya berkembang, keluarga mempunyai kemampuan yang lebih besar untuk mengubah taraf hidup mereka,” katanya.

Scroll to Top