Kelantan peruntuk RM1.38 bilion Belanjawan 2027

Kelantan peruntuk RM1.38 bilion Belanjawan 2027

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM1.383 bilion menerusi Belanjawan 2027 yang bertemakan Kelantan Prihatin: Penghayatan Membangun Bersama Islam.

Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, ia bersandarkan kepada empat teras iaitu Pemerkasaan Agama dan Pembangunan Modal Insan; Kesejahteraan Sosial dan Perlindungan Rakyat; Ekonomi Progresif dan Berdaya Tahan serta Kelestarian Alam Sekitar dan Keindahan Bandar.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan belanjawan itu, sebanyak RM1.087 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM296 juta untuk perbelanjaan pembangunan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam ruang fiskal yang terbatas, kerajaan negeri mengutamakan perbelanjaan yang melindungi kesejahteraan rakyat, menyokong perkhidmatan asas dan membawa manfaat ekonomi jangka panjang.

“Keputusan perbelanjaan hendaklah mengambil kira kemampuan kewangan, tahap kesiapsiagaan projek dan keupayaan pelaksanaan,” katanya semasa membentangkan Belanjawan Kelantan 2027 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Mohd. Nassuruddin berkata, dalam usaha memperkukuh kebajikan rakyat, kerajaan negeri memperuntukkan RM22 juta bagi Bantuan Am Bulanan al-Musa’adah, RM7.7 juta untuk Bantuan Beras al-It’am serta RM6.75 juta bagi bantuan armalah dan anak yatim.

Katanya, sebanyak RM14.95 juta turut disediakan bagi Bantuan Rumah Dhuafa’ manakala RM14 juta diperuntukkan untuk Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK) termasuk pembangunan projek perumahan di Bunut Susu dan Meranti II.

“Bagi pendidikan dan pembangunan modal insan menerima RM167.83 juta, termasuk RM132 juta kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) bagi menyokong kelangsungan institusi pendidikan Islam negeri.

“Untuk kemudahan awam pula, sebanyak RM240.6 juta diperuntukkan untuk penyelenggaraan jalan kampung, jalan negeri, jalan pihak berkuasa tempatan serta jalan pertanian,” ujarnya.

Mohd. Nassuruddin berkata, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan berjumlah RM27 juta bagi pembangunan Madinatul Riyadhah Bukit Merbau dan RM5.24 juta untuk terminal serta fasiliti pengangkutan awam atau KB Sentral.

Katanya, dalam sektor ekonomi, RM3.8 juta diperuntukkan bagi program Usahawan Berdikari, RM3 juta untuk Skim Kredit Mikro Usahawan dan RM5.6 juta bagi pembangunan pelancongan serta kebudayaan.

“RM10 juta disediakan untuk program Kelantanku Bersih dan Keceriaan Bandar, selain RM4.6 juta bagi inisiatif teknologi hijau termasuk penyediaan 2,000 unit lampu solar,” katanya.

Mohd. Nassuruddin turut merakamkan penghargaan dan terima kasih turut dirakamkan kepada Kerajaan Persekutuan atas hubungan antara kerajaan dengan kerajaan yang semakin kukuh.

Katanya,  jalinan kerjasama erat antara kementerian dan agensi Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Kelantan demi memperkasa pembangunan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat. – UTUSAN

 

Scroll to Top