Gambar tular beruang matahari berkeliaran di Taman Melawati rekaan AI – PERHILITAN

Gambar tular beruang matahari berkeliaran di Taman Melawati rekaan AI – PERHILITAN

Kuala Lumpur: Gambar tular mendakwa seekor beruang matahari besar berkeliaran di kawasan perumahan Taman Melawati, Hulu Klang, disahkan sebagai kandungan rekaan kecerdasan buatan (AI).

Ia hasil siasatan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) selepas gambar itu tular di media sosial sejak semalam.

Pengarah PERHILITAN Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan, Ishak Muhamad berkata, anggotanya segera memeriksa lokasi kejadian petang semalam dan mendapati tiada sebarang bukti kehadiran haiwan liar itu.

“Siasatan kami semalam mendapati gambar itu dihasilkan oleh AI. Malah kawasan pohon buluh di Desa Melawati itu agak jarang dan tidak sama seperti digambarkan dalam foto tular itu.

“Pemeriksaan lanjut juga tidak menemui sebarang kesan cakar atau najis yang boleh membuktikan kehadiran beruang di situ,” katanya hari ini.

Menurut Ishak, pemeriksaan itu dilakukan sekitar jam 1.30 tengah hari semalam.

“Pihak jabatan juga cuba menghubungi pengadu untuk mendapatkan penjelasan lanjut, namun panggilan itu tidak dijawab,” katanya.

Penjelasan itu dibuat susulan hantaran di media sosial Threads yang memaparkan visual menyerupai seekor beruang matahari sedang berdiri dengan kaki belakangnya di sebelah rumpun buluh lebat.

Hantaran itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat dan pelari rekreasi.

Individu yang berkongsi gambar berkenaan mendakwa haiwan itu dilihat sekitar jam 2.23 petang Selasa di laluan utama menuju ke sebuah kompleks pangsapuri di Taman Melawati.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top