Seramai 72,000 keluarga peserta FELCRA di seluruh Malaysia menerima manfaat menerusi Agihan Keuntungan Boleh Agih Interim 2/2026 berjumlah RM190.62 juta yang diumumkan oleh FELCRA Berhad.
72,000 peserta keluarga terima manfaat
Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataannya sewaktu berucap pada Majlis Pengisytiharan Agihan Keuntungan Interim 2/2026 Projek-Projek Peserta FELCRA di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Libat 734 projek berprestasi tinggi
Difahamkan, agihan berkenaan melibatkan 734 projek perladangan berprestasi tinggi yang menjadi antara pemacu utama penjanaan keuntungan organisasi.

Pencapaian itu mencerminkan keberkesanan pengurusan projek perladangan dalam menjana pulangan ekonomi yang mampan, sekali gus memastikan hasil pembangunan dapat dinikmati secara langsung oleh para peserta.
Dalam pada itu, FELCRA Berhad menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh produktiviti, meningkatkan kecekapan pengurusan ladang serta memperluas potensi ekonomi demi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran peserta secara berterusan.




