am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Usahawan hartanah, Mohamad Azlan Abdullah @ Ali, 39, gagal dalam tuntutan saman fitnahnya terhadap Wan Hafizie Wan Mohamad, 37, yang diputuskan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, selepas perbicaraan dijalankan antara 3 Jun 2023 hingga 15 Januari 2026.
Hakim Wan Nor Aklima Wan Salleh membuat keputusan itu menerusi prosiding secara dalam talian selepas mahkamah mendengar keterangan semua saksi serta meneliti pliding, dokumen dan hujahan bertulis yang difailkan oleh kedua-dua pihak.
Mahkamah memutuskan bahawa Mohamad Azlan gagal membuktikan tuntutan terhadap Wan Hafizie berhubung lima kenyataan yang didakwa berunsur fitnah berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Sehubungan itu, mahkamah turut menolak tuntutan Mohamad Azlan dengan kos sebanyak RM30,000.
Terdahulu, Mohamad Azlan memfailkan saman terhadap Wan Hafizie berhubung beberapa hantaran di Facebook yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah sehingga menjejaskan reputasinya.
Menerusi tuntutan tersebut, Mohamad Azlan menuntut ganti rugi am terhadap reputasinya yang didakwa terjejas dengan jumlah yang akan ditaksirkan oleh mahkamah.
Beliau turut menuntut ganti rugi teruk dan teladan selain memohon injunksi kekal bagi menghalang Wan Hafizie daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berunsur fitnah, memalukan atau menjatuhkan reputasinya.
Dalam tuntutan sama, Mohamad Azlan turut memohon perintah mahkamah supaya Wan Hafizie memadamkan semua hantaran yang didakwa berunsur fitnah daripada akaun Facebook miliknya.
Selain itu, Mohamad Azlan turut menuntut permohonan maaf secara jelas dan penuh penyesalan sama ada secara fizikal, menerusi rakaman video atau hantaran di Facebook.
Permohonan maaf tersebut juga dituntut supaya dikekalkan dalam akaun Facebook sehingga suatu tarikh yang dipersetujui.
Mohamad Azlan turut menuntut faedah pada kadar lima peratus ke atas keseluruhan jumlah penghakiman bermula dari tarikh keputusan sehingga penyelesaian penuh, kos tindakan serta apa-apa relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Bagaimanapun, mahkamah menolak kesemua tuntutan tersebut selepas mendapati Mohamad Azlan gagal membuktikan dakwaan fitnah berkenaan.
Mohamad Azlan diwakili peguam, Noryani Samsuddin manakala Wan Hafizie diwakili Dr Mahmud Abdul Jumaat dan Muhammad Amin Mohd Akhib.
© New Straits Times Press (M) Bhd




