am@hmetro.com.my
Melaka: “Saya ikhlas, soal wang tak apa, yang penting kita dapat tolong orang sedang susah.”
Itu kata mekanik, Lim Boo Seen, 60, yang enggan menerima bayaran selepas membaiki sebuah motosikal seorang penduduk yang rosak akibat kemalangan.
Katanya, dia dimaklumkan mengenai perkara itu apabila wakil penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem membawa motosikal Honda EX5 itu ke kedainya di Taman Seri Duyong, di sini, menggunakan troli untuk dibaiki.
Mesra disapa ‘Uncle Panjang’, Lim berkata, dia tidak sampai hati melihat pemilik Honda EX5 itu yang terpaksa berjalan untuk bergerak, apatah lagi lelaki itu turut mempunyai anak istimewa.
“Kalau YB (Mohd Noor Helmy) suka tolong orang, saya pun tolong YB. Tak ada hal.
“Hati saya tersentuh, kita sama-sama membantu dan berkongsi rezeki,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Lim berkata, tindakan itu juga kerana rasa hormat terhadap usaha Mohd Noor Helmy yang disifatkannya sentiasa mengambil berat kebajikan penduduk tanpa mengira kaum.
Terdahulu, Mohd Noor Helmy turut berkongsi kisah mekanik terbabit yang enggan menerima bayaran selepas membaiki motosikal itu di Facebook rasminya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




