am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Enam lelaki yang mempunyai keseluruhan 75 rekod jenayah dan dadah diberkas polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan rompakan berkumpulan bersenjata serta pecah rumah di beberapa daerah di Sabah.
Semua suspek berusia antara 30 hingga 43 tahun itu ditahan menerusi operasi khas Op Casa/Op Pintu yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, siasatan mendapati kumpulan berkenaan dipercayai terbabit dalam 17 kes jenayah sejak Januari hingga Ogos lalu dengan jumlah kerugian dianggarkan RM304,500.
Katanya, kegiatan kumpulan itu mula dikesan susulan dua kejadian rompakan berkumpulan bersenjata dan pecah rumah yang berlaku secara berasingan di sekitar Kota Kinabalu pada Ogos lalu.
“Susulan kejadian itu, satu pasukan petugas khas ditubuhkan pada September bagi menjalankan risikan dan operasi mengesan suspek yang terbabit.
“Hasil operasi, polis berjaya menahan enam suspek yang mempunyai keseluruhan 75 rekod jenayah membabitkan kesalahan jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jauteh berkata, modus operandi kumpulan berkenaan adalah menyasarkan rumah kediaman mewah yang tidak berpenghuni untuk melakukan kegiatan pecah rumah.
Bagaimanapun, katanya, kumpulan itu turut menggunakan kekerasan dengan senjata tajam bagi menakutkan penghuni sekiranya terdapat individu di dalam rumah ketika kejadian.
“Siasatan lanjut mendapati kumpulan ini terbabit dalam 17 kes rompakan berkumpulan bersenjata, pecah rumah, curi dan pencerobohan rumah di beberapa daerah di Sabah.
“Polis turut merampas pelbagai barangan termasuk jam tangan mewah, beg tangan berjenama, peralatan elektronik, kereta, peralatan memancing dan peti besi,” katanya.
Menurutnya, beberapa lagi suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan berkenaan sudah dikenal pasti dan tindakan lanjut sedang dijalankan.
Beliau berkata, kertas siasatan sudah dilengkapkan dan dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah bagi mendapatkan arahan pertuduhan.
“Suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu esok (30 Oktober) mengikut beberapa peruntukan undang-undang.
“Antaranya Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan berkaitan rompakan berkumpulan bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.
Jauteh berkata, pertuduhan lain turut membabitkan Seksyen 457, 411, 414 dan 447 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.
Katanya, kejayaan operasi berkenaan sekali gus menumpaskan satu kumpulan jenayah yang aktif melakukan rompakan bersenjata dan pecah rumah di negeri ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




