Dari Sandakan ke Jerman, Haziq buru impian hoki

Dari Sandakan ke Jerman, Haziq buru impian hoki

BERMULA dengan bimbingan bapanya ketika berusia tujuh tahun, minat Haziq Haiqal Daus terhadap hoki kini membawanya merentasi benua apabila berpeluang menyarung jersi kelab Jerman, HTC SW Bonn.

Pemain berusia 23 tahun kelahiran Sandakan, Sabah itu kini beraksi dalam Liga Hoki Jerman Divisyen Tiga, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan kariernya sebagai atlet selepas mendapat peluang berkenaan menerusi jurulatih hoki Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Haziq Haiqal antara tiga pemain Malaysia yang diberi peluang menimba pengalaman bersama kelab berkenaan, sekali gus merasai sendiri cabaran beraksi dalam persekitaran hoki Eropah.

Berkongsi kisahnya ketika ditemui pada Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-105, beliau berkata, penglibatannya dalam sukan itu bermula hasil dorongan bapanya, Daus Sultan, 55, yang pernah mewakili Sabah dalam hoki dan kini bertugas sebagai guru besar di sebuah sekolah di Beluran, Sabah.

“Sejak umur tujuh tahun lagi, ayah sudah melatih saya bermain hoki. Daripada ayahlah saya mendapat segala ilmu dan kemahiran dalam sukan ini,” katanya.

Anak ketiga daripada empat beradik itu mula menjalani latihan dan pembangunan sukan secara lebih tersusun apabila memasuki Sekolah Sukan Sabah dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga.

Beliau kemudian meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Bentara Luar, Batu Pahat, Johor, yang memberinya ruang lebih luas untuk mengasah kemahiran menerusi penyertaan dalam pelbagai kejohanan di Semenanjung Malaysia.

Pengalaman beraksi pada peringkat kompetitif itu turut membuahkan hasil apabila beliau membantu Johor meraih pingat perak pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2022, selain membawa pasukan sekolah muncul naib juara Liga Hoki Remaja Malaysia.

Pencapaian berkenaan menjadi antara batu loncatan buat Haziq Haiqal untuk meneruskan perjalanan dalam sukan dan pendidikan apabila ditawarkan tempat di UiTM pada 2021 menerusi program Diploma Pengajian Sukan di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR).

Walaupun mempunyai beberapa pilihan institusi pengajian, beliau memilih UiTM kerana tertarik dengan pembangunan hoki universiti itu yang dilihat mampu membantunya meningkatkan prestasi serta mengembangkan potensi sebagai pemain.

Sepanjang mewakili UiTM, Haziq Haiqal turut memperoleh pengalaman beraksi dalam Liga Hoki Malaysia selama dua musim berturut-turut, iaitu 2023/2024 dan 2024/2025, dengan pasukannya menamatkan kedua-dua kempen di tempat keempat.

Bagaimanapun, pencapaian paling bermakna bersama pasukan universiti itu hadir pada 2025 apabila beliau membantu UiTM menjuarai Varsity Championship selepas menewaskan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Kejayaan tersebut turut menamatkan penantian lebih sedekad UiTM untuk kembali menjulang kejuaraan berkenaan.

Peluang ke Eropah di luar jangkaan

Menceritakan detik yang membawanya ke Jerman, Haziq Haiqal berkata, peluang itu hadir tanpa diduga apabila jurulatih hoki UiTM menghubunginya untuk memaklumkan tawaran beraksi dalam saingan Divisyen Tiga negara berkenaan.

Tanpa melepaskan peluang tersebut, beliau berlepas ke Jerman pada penghujung Ogos 2026 dan menunjukkan permulaan memberangsangkan apabila meledak tiga gol dalam lima perlawanan pertamanya bersama HTC SW Bonn.

Beraksi sebagai penyerang, beliau mengakui pengalaman di Eropah membuka matanya terhadap tuntutan berbeza dalam sukan hoki, khususnya dari segi ketahanan fizikal, penyesuaian cuaca, pemakanan dan intensiti perlawanan.

Antara cabaran paling diingati ialah ketika penampilan pertamanya di sana apabila suhu sejuk di luar jangkaannya memberi kesan kepada persediaan fizikal sepanjang perlawanan.

“Perlawanan pertama saya di sana memang mencabar. Saya sangka cuaca tengah hari akan panas, jadi saya tidak memakai pakaian tambahan untuk menahan sejuk. Rupanya suhu sekitar 12 hingga 13 darjah Celsius.

“Saya juga mengalami kekejangan otot pada suku terakhir perlawanan kerana badan masih belum dapat menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca,” katanya.

Penyesuaian bukan hanya melibatkan aspek fizikal, malah turut merangkumi soal pemakanan.

Di sebalik komitmen sebagai pemain, Haziq Haiqal tetap memastikan pengajiannya tidak terabai.

Di sebalik komitmen sebagai pemain, Haziq Haiqal tetap memastikan pengajiannya tidak terabai.

Sebagai atlet Muslim, beliau perlu lebih berhati-hati memilih makanan yang sesuai, selain membiasakan diri dengan hidangan harian seperti pasta dan roti.

Namun, Haziq Haiqal melihat setiap kesukaran itu sebagai sebahagian daripada proses membina kematangan, bukan sahaja untuk meningkatkan prestasi di padang, malah mengukuhkan ketahanan mental ketika berdepan persekitaran baharu.

Beliau kembali ke Malaysia pada 13 Oktober lalu susulan rehat musim hoki padang di Jerman, apabila pertandingan hoki dalam dewan mengambil tempat sepanjang musim sejuk.

Sekiranya berpeluang meneruskan khidmat bersama HTC SW Bonn, beliau dijangka kembali ke Jerman untuk menyambung saingan pada April 2027, tertakluk kepada prestasi dan pembaharuan kontrak dengan kelab itu.

Pelajaran tetap jadi keutamaan

Di sebalik komitmen sebagai pemain, Haziq Haiqal tetap memastikan pengajiannya tidak terabai apabila kini mengikuti program Sarjana Muda Sains Sukan di UiTM dan berada pada semester keempat.

Dengan purata nilai gred sekitar 3.00, beliau percaya kejayaan dalam sukan dan akademik bukan sesuatu yang mustahil dicapai serentak, asalkan seseorang atlet mempunyai disiplin, komitmen serta kebijaksanaan mengurus masa.

Baginya, pendidikan ialah sandaran penting untuk masa depan kerana perjalanan seseorang atlet tidak sentiasa berjalan lancar, lebih-lebih lagi apabila kecederaan atau faktor lain boleh menjejaskan kelangsungan kerjaya dalam sukan.

“Kita boleh ambil kedua-duanya, sukan dan akademik. Semuanya bergantung kepada diri sendiri. Kalau kita rajin dan pandai mengimbangkan masa, kedua-duanya boleh berjalan seiring.

“Akademik sangat penting kerana apa-apa sahaja boleh berlaku dalam sukan, termasuk kecederaan. Jadi, jangan sesekali abaikan pelajaran,” katanya.

Beliau turut mengingatkan atlet muda supaya tidak mudah mengalah apabila berdepan kesukaran, sebaliknya terus bekerja keras dan memanfaatkan setiap peluang yang hadir untuk memperbaiki diri.

“Jangan putus asa. Teruskan usaha dan jangan berhenti separuh jalan. Rezeki itu ALLAH yang tentukan, tetapi kita perlu terus berusaha untuk mencapainya,” katanya.

Daripada seorang kanak-kanak yang mengenal hoki melalui tunjuk ajar bapanya di Sandakan, perjalanan Haziq Haiqal hingga ke gelanggang Jerman menjadi bukti bahawa minat yang dipupuk sejak kecil, sokongan keluarga dan kesungguhan merebut peluang mampu membuka jalan kepada impian yang lebih besar.

Kini, selain memburu pengalaman dan kejayaan di pentas antarabangsa, beliau turut membawa satu prinsip penting dalam perjalanan sebagai atlet muda: mengejar kecemerlangan di padang tanpa mengorbankan masa depan dalam pendidikan.

Scroll to Top