Inovasi IoT, AI pacu produktiviti pekebun kecil

Inovasi IoT, AI pacu produktiviti pekebun kecil

SHAH ALAM – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) terus memperkukuh budaya kualiti dan inovasi dalam usaha memperkasakan peranannya sebagai peneraju pembangunan pekebun kecil getah serta komuniti luar bandar.

Selaras dengan agenda Desa Lestari yang diperkenalkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), komitmen tersebut diterjemahkan menerusi penganjuran Majlis Hari Kualiti dan Inovasi RISDA 2026 yang menyaksikan RISDA Sabah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana.

Pengiktirafan itu diberikan atas kecemerlangan menyeluruh yang ditunjukkan pusat tanggungjawab berkenaan menerusi Anugerah Kualiti RISDA, Konvensyen Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) serta Pertandingan Inovasi RISDA. RISDA Sabah turut membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta piala dan sijil penghargaan.

Manndzri

Manndzri

Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata, kejayaan sesuatu inovasi tidak seharusnya diukur berdasarkan kemenangan atau pengiktirafan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada budaya kerja berkualiti yang memberi manfaat nyata kepada pekebun kecil.

“Budaya kerja berprestasi tinggi atau High Performance Culture perlu diperkukuhkan bagi melahirkan warga kerja yang kompeten, berintegriti dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi RISDA sebagai agensi berprestasi tinggi,” katanya.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Manndzri dan turut dihadiri Ketua Pengarah RISDA, Datuk Zainal Azni Zulkifli; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Wan Mohd Hafiz Wan Ibrahim; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Md Najip Ishak; serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RISDA Holdings, Muhammad Adnin Bakir Abu Bakar.

Sebanyak 77 penyertaan diterima daripada pusat tanggungjawab RISDA di seluruh negara serta Kumpulan RISDA Holdings, merangkumi 25 penyertaan kategori Inovasi Pengurusan, 37 Inovasi Teknikal, lapan KIK kategori Penciptaan dan tujuh KIK kategori Penambahbaikan.

Antara inovasi yang diketengahkan termasuk aplikasi geospatial berasaskan Internet Benda (IoT) untuk kegunaan pekebun kecil, sistem pemantauan keasidan tanah secara pintar serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi meramal permintaan input pertanian.

Manndzri (empat kanan) bergambar bersama-sama pempamer inovasi sempena Majlis Hari Kualiti dan Inovasi RISDA 2026.

Manndzri (empat kanan) bergambar bersama-sama pempamer inovasi sempena Majlis Hari Kualiti dan Inovasi RISDA 2026.

Pelaksanaan teknologi tersebut dilihat mampu meningkatkan kecekapan pengurusan serta produktiviti kebun, sekali gus menyokong pembangunan sektor pekebun kecil yang lebih mampan dan berdaya tahan.

Dalam pada itu, RISDA turut memberi penekanan kepada usaha meningkatkan taraf hidup komuniti pekebun kecil menerusi pendekatan pembeli utama (Anchor Buyer) bagi memperkukuh ekosistem pemasaran getah. Pada masa sama, elemen inovasi terus diterapkan dalam pengurusan dan pembangunan kebun bagi meningkatkan hasil serta pendapatan pekebun kecil.

RISDA komited untuk memperluas penggunaan inovasi berimpak tinggi sebagai pemangkin kepada peningkatan pendapatan pekebun kecil, kesejahteraan masyarakat luar bandar serta pembangunan ekonomi desa yang lebih lestari.

Scroll to Top