Esther mahu sertai acara maraton di Sukan SEA 2027

Esther mahu sertai acara maraton di Sukan SEA 2027

Kuala Lumpur: Atlet triatlon kebangsaan, Esther Joy Chen mengintai peluang untuk membuat penampilan dalam acara maraton pada Sukan SEA 2027 selepas muncul pelari wanita Malaysia terpantas pada Maraton Standard Chartered Kuala Lumpur, 4 Oktober lepas.

Esther, 22, mencatat masa tiga jam lima minit 22 saat (3:05:22) pada penampilan sulungnya dalam acara maraton, sekali gus meletakkan dirinya dalam senarai awal pemilihan bagi temasya dwitahunan itu yang akan berlangsung di Malaysia.

Beliau berkata, pencapaian itu menyuntik motivasi untuk terus meningkatkan prestasi, terutama dari segi persediaan fizikal dan mental, dalam usaha merealisasikan impian membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.

“Saya seorang yang optimistik. Saya suka meletakkan sasaran tinggi kerana saya percaya apa yang kita tetapkan dalam fikiran, kita boleh capai,” katanya ketika menjadi tetamu program Lensa Wanita terbitan Bernama Radio bertajuk “Di Sebalik Garisan Penamat” di sini hari ini.

Esther berkata, beliau menjalani latihan khusus maraton dengan kekerapan antara satu hingga tiga sesi sehari, bergantung kepada keperluan latihan, dengan setiap sesi berlangsung antara satu hingga tiga jam.

Beliau berkata, aspek pemakanan ketika perlumbaan turut perlu diberi perhatian khususnya pengambilan gel tenaga dan minuman bagi meningkatkan prestasi, sekali gus mencatatkan masa lebih pantas.

Esther berkata, sokongan pasangan dan keluarga turut memainkan peranan penting dalam membantunya mengharungi hari-hari sukar ketika menjalani latihan.

Beliau pernah menyertai program pelapis wushu pada 2014 sebelum berhenti, selain mempunyai pengalaman dalam gimnastik ketika di bangku sekolah, sebelum memberi tumpuan kepada triatlon.

Mengulas cabaran dalam triatlon, Esther berkata, renang adalah disiplin paling mencabar baginya memandangkan beliau mula berenang ketika berusia lapan tahun sebelum berhenti dan kembali berlatih pada usia 18 tahun.

Beliau berharap dapat terus memperbaiki kelemahan dan meningkatkan keyakinan diri bagi menghadapi cabaran di peringkat lebih tinggi, termasuk peluang beraksi pada Sukan SEA 2027.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top