SEMENYIH – Minat terhadap motosikal yang bermula sejak zaman mahasiswa pada 1973 terus kekal dalam diri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sehingga hari ini.
Berkongsi kisah itu, Ahmad Zahid berkata, beliau mula menunggang motosikal ketika menuntut di Universiti Malaya (UM) pada tahun berkenaan kerana tinggal di kolej kediaman yang jauh dari bilik kuliah.
Menurutnya, ketika itu beliau tinggal di Kolej Templer dan terpaksa mencari cara untuk memudahkan perjalanan ke tempat kuliah.
“Pada tahun 1973, kalau tak salah saya, saya berada di tahun pertama di Universiti Malaya. Ketika itu saya duduk di kolej yang jauh, Kolej Templer. Jauh, jauh, jauh dari bilik kuliah.
“Jadi saya mengecek bapa saya. Saya pinjam motor dia daripada kampung, daripada Bagan Datuk saya bawa ke Universiti Malaya. Dan (sejak) hari itu motor tu tak pulang ke bapa saya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi pengalaman mengenai minatnya terhadap motosikal menerusi program Sembang Santai MotoGP di Fifty Seven Coffee di sini, pada Khamis.
Ahmad Zahid berkata, sejak membawa motosikal bapanya dari Bagan Datuk ke universiti pada 1973, beliau terus menunggang motosikal sehingga kini.
“Daripada tahun 1973 lah saya naik motor dan saya tidak pernah berhenti hingga sekarang,” katanya.
Mengimbas motosikal berkenaan, beliau turut menyebut nombor pendaftarannya, iaitu AJS 2318.
Kisah itu dikongsikan dalam program yang membuka ruang kepada peminat sukan permotoran untuk berkumpul, berkongsi minat dan beramah mesra dengan Timbalan Perdana Menteri dalam suasana santai.
Program yang bermula jam 8 malam itu turut menampilkan persembahan Azlan & The Typewriter, selain cabutan bertuah yang menawarkan tiket MotoGP percuma serta pelbagai hadiah menarik.
Acara berkenaan turut menampilkan Sumbangan Kasih sebagai usaha membantu golongan yang memerlukan, sekali gus menggabungkan elemen sukan, hiburan dan kebajikan dalam satu program bersama masyarakat.



