Carrick tak terkejut pun masih kendali United

Carrick tak terkejut pun masih kendali United

London: Michael Carrick menegaskan beliau tidak terkejut masih diberi kepercayaan mengendalikan Manchester United meskipun terus dihimpit tekanan susulan prestasi buruk pasukan itu, sambil menegaskan fokusnya kekal untuk memperbaiki keadaan di Old Trafford.

Pengendali berusia 45 tahun itu berkata, beliau tidak memerlukan sebarang jaminan daripada pihak pengurusan mengenai kedudukannya menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Chelsea, Sabtu ini.

Carrick berdepan tekanan hebat selepas United gagal mencatat kemenangan dalam lapan perlawanan terakhir, termasuk kekalahan 0-3 kepada Bournemouth di laman sendiri, Ahad lalu.

Keputusan itu menyaksikan gergasi England berkenaan hanya satu mata di atas zon penyingkiran, selepas mengutip tujuh mata daripada lapan perlawanan liga, permulaan terburuk mereka dalam tempoh 40 tahun.

United setakat ini hanya mencatat dua kemenangan daripada 12 perlawanan dalam semua pertandingan musim ini, namun Carrick menegaskan beliau tidak terkejut masih menggalas tanggungjawab berkenaan.

“Tidak. Saya di sini untuk menjalankan tugas. Saya mahu melakukan yang terbaik untuk pasukan. Saya benar-benar mahu memperbaiki keadaan dan meningkatkan prestasi. Saya tidak terkejut,” katanya ketika ditanya mengenai kedudukannya.

Bekas pemain tengah United dan England itu turut menegaskan beliau memahami sepenuhnya tanggungjawab besar yang dipikul sebagai pengendali kelab berkenaan, sekali gus tidak memerlukan jaminan terbuka daripada pihak pengurusan.

“Saya tidak memerlukan jaminan daripada sesiapa. Saya benar-benar memahami kedudukan ini, tugas dan tanggungjawab yang datang bersamanya,” katanya.

Carrick turut mempertahankan kapten pasukan, Bruno Fernandes, yang tidak diturunkan ketika kekalahan kepada Bournemouth selepas mengkritik pendekatan taktikal pengendali itu susulan kekalahan 1-4 kepada Como.

Menurutnya, keputusan mengetepikan pemain tengah Portugal itu dibuat berdasarkan keperluan perlawanan dan tidak menjejaskan komitmen Fernandes terhadap kelab.

“Itu keputusan untuk perlawanan berkenaan. Bruno komited sepenuhnya kepada kelab ini. Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan perkara itu dan sekarang kami bergerak ke hadapan, selain menantikan perlawanan hujung minggu ini,” katanya.

Carrick turut menegaskan beliau tidak akan meninggalkan tugasnya walaupun terus berdepan kritikan, termasuk gesaan bekas kapten United, Gary Neville, yang berpendapat pengurus kadangkala perlu dipecat demi kebaikan diri sendiri.

Beliau berkata, pandangannya lebih tertumpu kepada usaha memperbaiki prestasi pasukan serta memenuhi harapan penyokong, yang sebelum ini memberikan tepukan kepadanya selepas kekalahan kepada Bournemouth, berbeza dengan sorakan boo yang ditujukan kepada pemain.

“Saya benar-benar tidak mengambil perhatian terhadap perkara lain. Saya tahu tugas ini dan apa yang perlu kami lakukan untuk menjadi lebih baik. Saya tidak perlukan orang lain untuk memberitahu saya.

“Saya mengambil berat tentang pandangan penyokong, apa yang kami berikan kepada mereka dan apa yang mereka lihat,” katanya.

Carrick juga yakin pemainnya masih bersemangat untuk bangkit meskipun keputusan semasa mengecewakan.

“Pemain-pemain dahagakan kejayaan. Kami kecewa kerana tidak memenangi perlawanan yang mencukupi. Namun, masih ada kesungguhan, semangat dan keinginan untuk menjadi lebih baik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top