Muda mahu reformasi institusi diperluas menerusi kerjasama CSA

Muda mahu reformasi institusi diperluas menerusi kerjasama CSA

SHAH ALAM – Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menggesa kerjasama rentas parti menerusi Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) bersama Kerajaan Madani dimanfaaatkan untuk melaksanakan reformasi institusi penting negara.

Muda memaklumkan reformasi yang memerlukan sokongan rentas parti itu ialah pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun serta pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Menurut kenyataan parti itu pada Khamis, kedua-dua pembaharuan itu penting untuk mengelakkan penumpuan kuasa yang berlebihan, memperkukuh kebebasan institusi dan memastikan sistem pendakwaan negara lebih bebas daripada campur tangan politik.

“Muda berpandangan bahawa rang undang-undang dan pindaan Perlembagaan yang baik tidak sepatutnya gagal di Parlimen hanya kerana perbezaan politik.

“Ahli-Ahli Parlimen mempunyai tanggungjawab untuk menilai sesuatu reformasi berdasarkan merit dan kepentingan negara, bukannya semata-mata berdasarkan parti yang mengusulkannya,” menurut kenyataan itu.

Parti itu mengharapkan CSA tersebut dapat membantu memperoleh sokongan Parlimen bagi meluluskan reformasi berkenaan dan perlu disusuli dengan peruntukan undang-undang dan mekanisme pelaksanaan yang jelas.

Pada masa sama, Muda melihat kerjasama rentas parti itu diperluas kepada reformasi lain yang masih tertangguh, khususnya penggubalan Akta Pendanaan Politik bagi memastikan sumber pembiayaan parti politik lebih telus, terkawal dan bertanggungjawab.

“Muda juga mahu melihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipisahkan daripada kawalan eksekutif dan diletakkan di bawah mekanisme pengawasan Parlimen yang bebas dan berkesan.

“Institusi yang bertanggungjawab menyiasat rasuah mesti mempunyai kebebasan untuk menjalankan tugas tanpa campur tangan politik, tanpa mengira siapa yang memegang kuasa,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Muda mahu sistem peruntukan pembangunan kawasan Parlimen diinstitusikan menerusi kerangka perundangan yang jelas, telus dan saksama, dengan pengagihan berdasarkan keperluan serta prinsip kesaksamaan.

“Muda percaya bahawa kerjasama politik yang matang tidak menghapuskan perbezaan pandangan, sebaliknya membolehkan parti-parti yang berbeza pendirian mencari titik persamaan demi kepentingan negara.

“Reformasi institusi yang baik mesti diberi peluang untuk dilaksanakan, dan kepentingan rakyat mesti sentiasa mengatasi kepentingan parti,” tambah kenyataan itu.

Scroll to Top