Ahmad Zahid usaha kekalkan PETRONAS taja MotoGP Malaysia

Ahmad Zahid usaha kekalkan PETRONAS taja MotoGP Malaysia

saifulaffendy@hmetro.com.my

Semenyih: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan berusaha memastikan PETRONAS terus menjadi penaja utama penganjuran Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Ia susulan pertemuan beliau bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MotoGP Sports Entertainment Group, Carmelo Ezpeleta, semalam yang menyuarakan hasrat supaya PETRONAS meneruskan peranan sebagai penaja utama perlumbaan berprestij itu.

“Saya telah berjumpa dengan Carmelo dan beliau telah menawarkan kepada PETRONAS untuk terus menjadi penganjur kepada MotoGP.

“Beliau memberitahu saya bahawa tahun ini adalah tahun terakhir untuk PETRONAS menjadi penaja (GP Malaysia), tetapi di negara-negara lain, syarikat-syarikat minyak nasional mereka atau syarikat-syarikat tempatan menjadi penaja.

“Beliau meminta supaya bukan syarikat minyak luar negara atau syarikat minyak antarabangsa, atau sebarang syarikat multinasional yang menjadi penaja. Beliau mahu supaya nama Malaysia itu sinonim dengan PETRONAS,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, susulan perkara itu beliau akan mengadakan pertemuan dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik bagi membincangkan perkara berkenaan dengan lebih lanjut.

“Walaupun mungkin dari segi kosnya agak berat, tapi saya fikir ada beberapa kaedah yang lain bagi menentukan bahawa PETRONAS ini tetap menjadi penganjur utama dan penaja di dalam MotoGP tahun-tahun berikutnya,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis Sembang Santai MotoGP sempena GP Malaysia yang berlangsung minggu ini.

Antara yang hadir pada majlis berkenaan ialah bekas pelumba negara, Wazi Abdul Hamid, Azlan Shah Kamaruzaman serta Zulfahmi Khairuddin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top