am@hmetro.com.my
Tawau: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan Mejar memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, bahawa emolumen bulanannya berjumlah RM7,290.51 dihentikan kepada RM0 selepas beliau gagal melapor diri ke Johor susulan arahan pertukaran dari Kontinjen Sabah.
Dennis anak Enit, 48, yang juga plaintif ketiga menerusi pernyataan saksinya dalam saman sivil berjumlah RM190 juta terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa pihak lain berkata, penghentian emolumen itu berkuat kuasa 27 Disember 2024 selepas beliau dibebaskan daripada pertuduhan membunuh seorang pemandu e-hailing, kira-kira tiga tahun lalu.
Saksi ke-12 plaintif itu merujuk Penyata Perubahan Mengenai Pendapatan Seseorang Pegawai (Borang Kew.8) bertarikh 21 Januari 2025 daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat yang menunjukkan emolumen bulanannya sebanyak RM7,290.51 dihentikan kepada RM0 semasa pemeriksaan utama oleh peguamnya, Rasrina Patrick T Rining di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos.
Berdasarkan dokumen itu, jumlah berkenaan merangkumi gaji pokok RM5,576.06, Bayaran Insentif Wilayah RM774.45, Imbuhan Tetap Khidmat Awam RM160, Imbuhan Tetap Perumahan RM580 dan Bayaran Insentif Tugas Am RM200.
Bagaimanapun, ketika pemeriksaan balas oleh Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Zetty Zurina Kamarudin, beliau bersetuju dengan cadangan bahawa penghentian emolumen itu berkuat kuasa mengikut peraturan kewangan kerajaan berikutan kegagalannya melapor diri bertugas di Johor.
Beliau turut bersetuju bahawa selepas akhirnya melapor diri bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, pelarasan gaji dan tunggakan emolumennya diproses mengikut prosedur kewangan pentadbiran.
Sebelum itu, Dennis mendakwa, penghentian emolumen tersebut, bersama arahan pertukaran dan tindakan tatatertib terhadapnya, merupakan sebahagian daripada tindakan pembalasan (retaliation) terhadapnya selepas beliau dibebaskan daripada pertuduhan bunuh.
Beliau berkata, selepas dibebaskan, beliau kembali bertugas dan melapor diri di IPD Kudat pada 28 Mei 2024 sebelum menerima arahan pertukaran dari Kontinjen Sabah ke IPK Johor menerusi Arahan Penempatan Pertukaran PRP dan Konstabel Bil. 245/2024 bertarikh 1 Julai 2024.
Dennis berkata, beliau kemudian mengemukakan rayuan untuk kekal bertugas di Kontinjen Sabah pada 3 Julai 2024 dan rayuan itu turut disokong serta diteruskan oleh IPD Kudat menerusi surat bertarikh 5 Julai tahun sama.
Katanya, antara alasan dikemukakan ialah beliau masih menguruskan bayaran balik gaji di Kontinjen Sabah, hanya menerima separuh gaji pokok dan separuh elaun khidmat, selain penyata gaji bersihnya dari Mac 2023 masih menunjukkan jumlah RM0.
Bagaimanapun, rayuannya ditolak menerusi surat Ketua Jabatan Pengurusan IPK Sabah bertarikh 26 Julai 2024 yang menyatakan permohonan untuk kekal di Sabah tidak dapat dipertimbangkan dan beliau diarahkan melapor diri ke Johor dengan kadar segera.
Dalam keterangannya sebelum ini, Dennis berkata, beliau tidak melapor diri ke Johor selepas rayuannya ditolak kerana mendakwa mempunyai ketakutan yang nyata terhadap keselamatan dirinya selain sedang dalam proses mengambil tindakan sivil terhadap PDRM, Jabatan Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia
Dalam pemeriksaan balas, Dennis bersetuju dengan cadangan SFC bahawa pertukaran pegawai polis yang berada di bawah perjawatan Kontinjensi, selepas diambil semula bekerja, merupakan prosedur piawai pentadbiran PDRM bagi memenuhi keperluan perkhidmatan.
Selepas Dennis selesai memberi keterangan, prosiding ditangguhkan sehingga 16 hingga 20 November depan dengan baki tiga plaintif dijadualkan tampil memberi keterangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



