Mexico City: Juara dunia Formula Satu (F1) dua kali, Fernando Alonso mempertahankan kritikan terhadap tahap pemanduan pelumba di kelompok belakang grid selepas kenyataannya mencetuskan reaksi kurang senang dua pemandu Williams, Carlos Sainz dan Alex Albon.
Alonso sebelum ini mendakwa tahap pemanduan dan bakat dalam kelompok sepertiga terbawah grid berada pada tahap rendah susulan insiden perlanggaran dengan Albon pada Grand Prix (GP) Amerika Syarikat di Austin, hujung minggu lalu.
Pemandu Aston Martin itu yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-16 manakala Albon di kedudukan ke-17, bagaimanapun tidak berganjak daripada pendiriannya menjelang GP Mexico City di Autodromo Hermanos Rodriguez.
“Saya masih berasakan perkara sama. Saya rasa kita semua tahu siapa yang terasa dengan kenyataan itu. Itu sudah cukup menjelaskan segalanya,” katanya kepada pemberita.
Alonso turut mempersoalkan beberapa insiden di kelompok belakang yang menyaksikan pelumba bersentuhan seawal pusingan pertama sehingga menyebabkan sayap hadapan kereta tercabut.
Menurutnya, insiden sedemikian tidak sepatutnya berlaku, terutama ketika pelumba bersaing di kelompok belakang tanpa peluang besar untuk merebut kedudukan lebih baik.
Bagaimanapun, Albon tidak bersetuju dengan pandangan juara dunia dua kali itu dan menyifatkan tahap persaingan dalam kalangan pelumba F1 ketika ini masih tinggi di setiap kelompok grid.
“Bukan sesuatu yang menyenangkan apabila mendengar kenyataan seperti itu, lebih-lebih lagi apabila anda berlumba dengan seseorang yang pernah menjadi idola. Namun, saya tidak bersetuju. Itu sahaja,” katanya.
Pelumba Thailand itu turut menegaskan tahap persaingan ketika ini jauh lebih kompetitif berbanding 10 hingga 15 tahun lalu, selain menyifatkan era pelumba yang membayar untuk mendapatkan tempat dalam pasukan sudah semakin berlalu.
Rakan sepasukannya, Sainz turut mempertahankan kualiti barisan pemandu F1 ketika ini dan menyifatkan grid musim ini antara yang terkuat dalam beberapa tahun kebelakangan.
Pemandu dari Sepanyol itu yang pernah memenangi perlumbaan di Mexico ketika bersama Ferrari berkata, dia amat menghormati kebolehan Albon dan menikmati persaingan bersama rakan sepasukannya itu.
Bagaimanapun, Sainz mengakui berlumba di kelompok belakang bukan pengalaman yang menyeronokkan kerana pemandu berdepan situasi berbeza apabila tidak mempunyai banyak perkara untuk dipertaruhkan.
Katanya, keadaan itu kadangkala mendorong berlakunya insiden yang mungkin dapat dielakkan sekiranya mereka bersaing di kelompok hadapan.
“Tiada seorang pun daripada kami di sepertiga terbawah grid yang layak berada dalam kedudukan seperti sekarang. Kami semua mempunyai bakat untuk bersaing merebut podium, kelompok lima teratas dan kemenangan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




